Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor menyifatkan dakwaan seorang pegawai di pejabat itu yang mempunyai kekayaan luar biasa seperti yang tular menerusi satu kumpulan WhatApps sebagai berniat jahat dan bermotifkan politik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, dakwaan liar itu yang dibuat ketika Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sedang membentangkan Belanjawan Negeri 2026 juga berunsurkan fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta atau berasas.

“Laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah ini akan dibuat oleh pegawai terbabit sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk kita sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kewujudan sebuah kumpulan WhatApps dengan nama `MB Selangor’ yang mendesak Amirudin menjawab persoalan mengenai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan didakwa membabitkan seorang pegawainya yang turut dipercayai memegang terlalu terlalu banyak jawatan di bawah kerajaan negeri.

Pentadbir kumpulan WhatApps itu yang dikenali sebagai `Madani’ turut mendakwa pegawai tersebut telah ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki sebuah rumah banglo bernilai RM3 juta dan membawa keluarganya bercuti secara mewah ke luar negara.

Selain memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri, ‘Madani’ mendakwa pegawai itu juga berkhidmat sebagai penyelaras kawasan dan menjadi ahli lembaga sebuah syarikat milik kerajaan negeri serta sebuah kelab golf ternama.

Sehubungan itu, `Madani’ meminta Amirudin menjelaskan mengapa ‘seorang individu dilantik ke begitu banyak jawatan’, sambil menambah ia menimbulkan persepsi bahawa ‘tiada orang lain di Selangor yang layak’.

Selain Amirudin, kumpulan WhatApps itu turut melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang Selangor; beberapa pemimpin parti politik serta wartawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast