KOTA BHARU – Sejak empat bulan lalu, nama Hiyaz Community mula meniti di bibir penduduk sekitar Kota Bharu, Kelantan apabila sekumpulan anak muda mengembleng tenaga dan merintis inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan awam dengan menebas semak di laluan pejalan kaki dan stesen bas.
Wartawan MalaysiaGazette Rafiqin Aiman, baru-baru ini sempat mengikut pasukan Hiyaz Community yang diterajui pengasasnya, Rizal Amin membersihkan semak-samun yang sudah menutupi lampu jalan di Kota Bharu.
Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette, kumpulan yang terdiri daripada beberapa anak muda itu, melakukan pembersihan tanpa banyak ‘songeh’ meskipun terpaksa bekerja di bawah terik matahari.
Menurut Rizal yang juga seorang pereka bentuk, Hiyaz Community adalah inisiatif sukarela yang ditubuhkan oleh syarikatnya Hiyaz Design dan dianggotai oleh empat sahabat yang dikenalinya sejak zaman belajar.

Katanya, mereka mempunyai beberapa sukarelawan yang bertugas separuh masa termasuk yang masih belajar untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di tempat awam.
Sebagai anak jati Kota Bharu, Rizal berkata, beliau dan pasukannya hanya mahu melihat bandar yang diisytiharkan sebagai bandaraya Islam sejak 2005 itu cantik, kemas dan terpelihara terutamanya di mata para pelancong yang mengunjungi ibu negeri Kelantan.
“Kami faham ada masalah semak-samun yang melibatkan kawasan (di bawah tanggungjawab) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mana mungkin terjadi akibat terlepas pandang atau kekurangan pekerja.
“(Keadaan ini berlaku) dalam kawasan yang sepatutnya jadi hak milik bersama,” katanya ketika ditanya dari mana tercetusnya idea untuk melakukan kerja sukarela tersebut.

Menurut Rizal yang baru berusia 24 tahun, pada asalnya dana untuk membiayai inisiatif di bawah Hiyaz Community seperti membeli minyak dan peralatan pembersihan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat beliau.
Malah, para sukarelawan juga tidak menerima sebarang ganjaran atau insentif kewangan namun masih sedia menyumbang tenaga meskipun hanya dibelanja makan sebagai tanda penghargaan.
Namun katanya, kini terdapat sebilangan anggota masyarakat yang mula menyumbangkan sedikiti dana bagi membolehkan Hiyaz Community terus aktif menjalankan aktiviti mereka.
Rizal yang turut dikenali sebagai Abe Riz berkata, setakat ini mereka tidak pernah menerima sebarang maklum balas negatif daripada masyarakat berhubung inisiatif Hiyaz Community.

Tegasnya, penubuhan Hiyaz Community adalah jelas untuk membantu masyarakat sekitar Kota Bharu tinggal dalam persekitaran yang lebih bersih, kemas dan selamat.
“Tiada penentangan daripada komuniti setakat ini, kalau ada pun setakat satu-dua yang berkaitan politik tetapi bagi kami (hal) politik kami letak dalam poket.
“Kami utamakan prasarana dan kepentingan rakyat. Saya pula seorang yang berfikiran terbuka, jika ada maklum balas negatif, saya akan cuba jadikannya positif dengan menambah baik usaha-usaha yang kami lakukan,” katanya ditanya jika terdapat sebarang komen negatif atau penentangan daripada pihak luar atau komuniti setempat.
Menurut Rizal, buat masa ini mereka tidak berhasrat untuk melangkah lebih jauh dan hanya mahu memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti sekitar Kota Bharu sahaja.
Namun begitu, beliau mempunyai impian agar kerja-kerja pembersihan yang dilakukan Hiyaz Community kini diperluas kepada masyarakat setempat menerusi aktiviti gotong royong dan sebagainya. -MalaysiaGazette















