Abu Huraira Abu Yazid

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan pelantikan Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai pengerusi lembaga pengarah, berkuat kuasa 15 November 2025.

Beliau menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang telah bersara.

Abu Huraira mempunyai pengalaman kepimpinan yang luas dalam sektor awam dan industri kewangan dengan kepakaran dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Berhad, serta memegang pelbagai jawatan utama di institusi kewangan di Malaysia, termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah United Overseas Bank (M) Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional.

Beliau kini merupakan Pengerusi MISC Berhad, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn. Bhd. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) daripada Universiti Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah yang mengalu-alukan pelantikan itu berkata, pengalaman luas serta peranan dan kepimpinan Abu Huraira dalam pelbagai organisasi penting, dapat menyumbang kepada hala tuju strategik dan kemantapan tadbir urus PIDM ke arah memenuhi mandatnya dalam menggalakkan kestabilan sistem kewangan.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Zukri Samat atas kebijaksanaan, pandangan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi PIDM. Kami mengharapkan yang terbaik dalam segala urusan beliau di masa depan,” tambah Rafiz.

Dengan pelantikan ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terkini adalah:
• Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
• Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
• Datuk Johan Mahmood Merican (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
• Datuk Dr Yacob Mustafa
• Razali Othman
• Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood
• Datuk Dr Gan Wee Beng
• Gloria Goh Ewe Gim
• Lee Kong Eng – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast