Kerja pemasangan trek landasan untuk projek pembinaan RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura kini lebih 65 peratus siap.

ISKANDAR PUTERI – Pembinaan sistem Aliran Transit Automasi (ART) di bandar raya ini adalah penting dalam menyuraikan trafik selepas Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura beroperasi pada 2027.

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, ini kerana bilangan aliran pengguna di Tambak Johor mungkin mencecah lebih setengah juta setiap hari.

“Cadangan pembinaan sistem ART pasti boleh meringankan beban trafik di pusat bandar Johor Bahru. Tiga jajaran yang dicadangkan adalah laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78 kilometer (km), laluan Skudai (18.8 km) dan laluan Tebrau (14 km).

“Bagi keberkesanan yang lebih optima, saya mencadangkan untuk menambah satu lagi jajaran, iaitu jajaran bulatan atau ‘circle’ pusat Bandaraya Johor Bahru yang menghubungkan ketiga-tiga jajaran ini.

“Ia dilihat akan meningkatkan keberkesanan ART dengan perhubungan antara jajaran yang lebih berkesan,” katanya ketika sesi perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Andrew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang (PH), berpandangan sebagai pelengkap laluan atau jajaran pejalan kaki ‘Jajaran Walkway’ yang lebih terancang, tersusun, lebar dan selamat perlu diwujudkan.

Katanya, jajaran itu dapat menghubungkan setiap tempat di bangunan bahkan menjangkaui lebih daripada kawasan ini.

“Buat masa ini, kita hanya bergantung kepada laluan di kaki lima atau jalan di antara bangunan sahaja di mana ia bukannya satu ‘jajaran walkway/walkway network’ yang terancang.

“Saya juga mengesyorkan agar laluan shuttle bas diwujudkan di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan tawaran perkhidmatan dalam lingkungan dua km, atau laluan pendek supaya penumpang boleh disuraikan dengan lebih cepat dan lancar.

“Dicadangkan juga supaya Bas.My Johor Bahru dan Bas Muafakat Johor dapat bekerjasama dengan lebih strategik bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam di negeri ini,” katanya.

Bagi laluan dengan kekerapan yang tinggi, beliau mencadangkan agar kekerapan laluan ditambah atau dipecahkan kepada dua demi memendekkan masa menunggu di sesebuah stesen.

Khamis lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, sehingga kini tiada penyelesaian menyeluruh dikemukakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik, termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar.

Baginda bertitah, kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan.

“Namun, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” titah baginda dalam HRH Crown Prince Of Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast