KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berpandangan pendekatan co-teaching atau pengajaran berpasukan di dalam satu kelas atau bilik darjah yang tidak bersifat inklusif adalah satu pembaziran sumber manusia.
Apatah lagi, menurutnya, yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), dalam situasi negara yang sedang berdepan isu kekurangan guru opsyen.
Sebaliknya, kata beliau, kelas yang tidak bersifat inklusif seperti kelas yang tidak mempunyai murid-murid khas lambat atau lemah pembelajaran biasanya diamalkan konsep team teaching.
Menerusi konsep itu, guru-guru berbincang, merancang dan membuat persiapan sebagai satu pasukan, manakala di dalam kelas guru-guru bergilir mengajar.
“Hanya seorang guru akan mengajar pada satu masa. Jika ada guru lain bersedia untuk ikut serta, peranan mereka adalah sebagai guru pembantu,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan akan memperkenalkan kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching‘ bersama dua guru dalam satu kelas dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Inisiatif itu yang membabitkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I itu dilihat sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang daripada segi ilmu tetapi juga memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.
Sementara itu, Anuar berkata, pendekatan co-teaching yang memerlukan dua guru di dalam satu kelas secara serentak yang mengajar dua disiplin ilmu berbeza secara berintegrasi tentunya lebih sukar.
Jelasnya, walaupun boleh dilaksanakan namun pendekatan itu menimbulkan persoalan dari segi keberkesanan, beban tambahan kepada guru serta sama ada sekolah mempunyai guru mencukupi.
“Sebenarnya, pendekatan terbaik untuk bilik darjah inklusif ialah co teaching manakala bagi kelas arus perdana yang tidak mempunyai murid khas lemah pembelajaran, laksanakanlah konsep pembantu guru (bagi kelas yang ramai murid).
“Bagi kelas arus perdana yang mempunyai 30 murid ke bawah dalam satu kelas, laksanakan team teaching. Itu baru betul caranya,” katanya.
Tambah Anuar, dalam mengurus pendidikan, kepelbagaian isu memerlukan kepelbagaian solusi, manakala pendekatan dan pemikiran one size fits all disifatkan tidak sesuai, tidak berkesan malah satu pembaziran. – MalaysiaGazette
















