KUALA LUMPUR – Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Sukau menafikan laporan yang mendakwa lebih 2,000 ahli GRS Bahagian Sukau keluar parti bersama bekas Ketua Pergerakan Wanita Bahagian itu, Dayang Norhayati Titing.
Setiausaha GRS Bahagian Sukau, Emerson Dawang berkata, dakwaan itu jelas tidak berasas dan bermotifkan fitnah politik.
Jelasnya, hasil penelitian serta pengesahan dalaman parti mendapati jumlah sebenar ahli yang keluar tidak melebihi 10 orang.
“Malah sebahagian individu yang dikaitkan dalam dakwaan tersebut merupakan ahli baharu yang sebelum ini menyertai Parti Warisan sebelum mengikuti jejak langkah Dayang Norhayati untuk menyertai parti Barisan Nasional (BN).
“Untuk makluman, Dayang Norhayati telah lama tidak aktif dalam aktiviti parti di peringkat bahagian dan cawangan yang dipimpinnya juga didapati berstatus tidak aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan GRS menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas Dayang Norhayati yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai semula UMNO/BN.
Sementara itu, dakwaan kononnya 2,000 ahli keluar parti adalah satu provokasi politik murahan yang cuba menggambarkan seolah-olah GRS Bahagian Sukau sedang menghadapi krisis.
Jelas beliau, pihaknya memandang serius percubaan mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej parti itu dengan menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat.
“GRS Bahagian Sukau kekal kukuh, tersusun dan berkembang dengan kemasukan ahli baharu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Jentera GRS di kawasan N.59 Sukau berada dalam keadaan bersiap siaga dan terus memperkukuhkan gerak kerja menjelang pilihan raya negeri akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















