Tangkap layar saksi yang didakwa mangsa terjatuh Jambatan Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang dikaitkan sebagai mangsa yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang semalam, tampil menafikan dakwaan tersebut selepas gambar kad pengenalannya tular di media sosial.

Individu berkenaan berkata, penyebaran kad pengenalannya (IC) bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi turut menjejaskan keselamatannya.

“Gambar IC yang dikongsi ke beberapa grup WhatsApp itu milik saya..Saya hanya saksi,  bukan mangsa yang lompat atau terjun dari jambatan.

“Saya tidak tahu bagaimana gambar kad pengenalan itu boleh tular,” katanya dalam satu rakaman video berdurasi 59 saat.

Lelaki turut merayu agar penyebaran gambar itu dihentikan serta-merta.

“Saya tak tuduh mana-mana pihak bocorkan gambar IC itu cuma saya mohon hentikan perbuatan sebarkan ia dalam grup WhatsApp.

“Jika terus disebarkan, saya minta maaf kerana nombor telefon yang menyebarkan gambar itu akan dimasukkan dalam laporan polis saya,” tegasnya.

Motosikal, bungkusan pakaian antara ditinggalkan mangsa di tepi tembok jambatan tersebut.

Media semalam melaporkan, seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pulau menghala ke Perai.

Mangsa dikatakan meninggalkan bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y16 di tepi tembok jambatan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan pada 6.56 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai diketuai Penguasa Bomba Kanan I, Rohaizal Abdul Aziz.

“Operasi SAR dilaksanakan dan ketika ini pasukan Maritim Malaysia dan Polis Marin telah pergi ke lokasi kejadian.

“Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast