KUALA LUMPUR – Karnival Haji, Umrah dan Perlancongan ke empat (KHUP4) bakal menjadi platform utama bagi masyarakat mendapatkan maklumat sahih berkaitan pakej haji, umrah dan perlancongan.
Karnival yang bakal berlangsung selama tiga hari itu menyediakan ruang untuk orang ramai menilai pelbagai pilihan pakej mengikut kemampuan masing-masing yang disediakan oleh 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, penganjuran karnival ini bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya ia adalah ruang pendidikan yang membantu msyarakat memahami persediaan ibadah haji.
“KHUP4 menyediakan peluang kepada orang ramai bagi menilai pakej haji secara lebih jelas dan teratur, seterusnya memahami tanggungjawab serta persediaan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, untuk musim haji 1447H, TH akan menambah tiga syarikat baharu ke dalam senarai PJH berlesen yang menjadikan jumlah keseluruhan 34 syarikat dibenarkan menawar perkhidmatan berkaitan haji.
Tambahnya, pakej ekonomi di bawah RM55,000 turut ditawarkan oleh PJH berlesen dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui e-Brosur Pakej Haji 1447H/2026M di laman rasmi www.tabunghaji.gov.my.
Karnival anjuran TH dengan kerjasama Bumitara Malaysia ini akan berlangsung pada 28 hingga 30 November di Movenpick Hotel & Connection Centre (MHCC) Sepang.
Ia turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti program bual bicara TH, simulasi haji cilik, pertandingan mewarna, serta persembahan artis seperti Raihan, Inteam dan Mawi, selain penampilan istimewa Omar Hana dan cabutan bertuah. -MalaysiaGazette
















