KLUANG – Polis semalam menahan seorang lelaki tempatan dalam Ops Cantas selepas mengugut seorang wanita untuk menyebarkan video hubungan intim mereka.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kejadian tersebut pukul 4.42 petang, 11 November lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa menerima ugutan jenayah itu semasa berada di rumah di Jalan Rajawali, Fela Ulu Penggeli, Latang Layang.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menangkap seorang lelaki, 26, tempatan di tepi jalan Berangan di sini pukul 5.30 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 (direct line) dan 014-365682 (tablet DCC). – MalaysiaGazette
















