KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) diarahkan menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang jemaah haji, Asmah Mansor, 71, secepat mungkin mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia susulan kutipan tabung yang diwujudkan bagi membantu urusan membawa pulang Asmah mencapai jumlah diperlukan.
Jelasnya, setakat pukul 11 pagi tadi, kutipan Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi tujuan itu telah mencecah RM372,222.66 hasil sumbangan orang awam.
Kata beliau, agensi agama di bawah kementeriannya iaitu Tabung Haji dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan menampung baki kos keseluruhan kira-kira RM500,000 bagi tujuan tersebut.
“Dengan perkembangan ini, pihak pengurusan Tabung Musa’adah secara rasminya menutup kutipan untuk tujuan berkenaan serta-merta,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan, serta para dermawan yang tampil menyumbang kepada tabung tersebut meskipun dalam tempoh singkat.
Jelasnya, kesatuan serta sifat ihsan rakyat Malaysia itu telah menterjemahkan semangat perpaduan Malaysia Madani.
“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan para penyumbang dengan ganjaran yang berlipat ganda dan Allah SWT asbab dari mempermudah urusan semua rakyat Malaysia yang telah memudahkan usaha membawa pulang Jemaah Haji tahun 1446H yang terakhir yang masih berada di Hospital di Mekkah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Asmah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Saudi German di Jeddah, sejak Jun lalu, akibat menghidap pneumonia.
Warga emas berasal dari Kuala Selangor yang juga bekas pesakit kanser paru-paru itu merupakan jemaah haji pada musim haji 1446H/2025 yang menunaikan ibadat tersebut bersama anak lelaki sulungnya.
Menurut waris mangsa, kira-kira RM500,000 diperlukan bagi kos pengangkutan untuk membawa pulang Asmah ke tanah air dengan penerbangan khas yang dilengkapi peralatan bantuan pernafasan serta pegawai perubatan.
Sehubungan itu, Jakim dan YWM melancarkan akaun khas yang dibuka di bawah Tabung Musa’adah bagi mengumpul sumbangan daripada orang awam untuk membawa Asmah pulang. – MalaysiaGazette















