KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak mempunyai hak untuk `mengugut’ mengenakan tindakan syariah terhadap ahli kumpulan Dolla, Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli) bersabit satu video muzik kononnya kerana tampil `terlalu seksi’.
Peguam, Latheefa Koya berkata, seorang menteri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa mana-mana individu.
Sebaliknya kuasa pendakwaan sama ada kes sivil atau syariah hanya boleh diputuskan oleh pihak pendakwaan selepas siasatan yang adil dan bebas oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Malah, tambahnya, dengan melancarkan `serangan’ terbuka terhadap Sabronzo, Mohd Na’im telah memalukannya secara terbuka walaupun beliau belum didapati bersalah atas sebarang kesalahan.
“Tindakan ini juga menjejaskan hak asas beliau untuk mendapatkan siasatan dan perbicaraan yang adil,” katanya menerusi laman sosial X semalam.
Terdahulu, Mohd Na’im dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Kenyataan itu susulan kontroversi video muzik terbaharu Dolla berjudul Question yang mencetuskan perdebatan ramai kerana dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton sehingga diturunkan dari laman sosial YouTube.
Sementara itu, Latheefa berkata, seluruh serangan terhadap Sabronzo dan kumpulannya hanyalah sensasi murahan dan memperlihatkan obsesi tidak sihat terhadap kesucian wanita sambil mengabaikan sikap-sikap misoginis (kebencian terhadap wanita) berbahaya dalam masyarakat.
“Lagi pun, bagaimana menteri memutuskan bahawa video muzik itu terlalu seksi? Adakah beliau menontonnya? Apa kriterianya? Mungkin beliau sepatutnya `menundukkan pandangan’,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan adalah lebih baik sekiranya Mohd Na’im dan kementeriannya memberi tumpuan kepada masalah lain yang lebih besar berbanding meneliti muzik video Dolla.
“Sebagai contohnya, ribuan kanak-kanak dinafikan kewarganegaraan hanya kerana dokumen perkahwinan ibu bapa mereka tidak teratur.
“Bukankah membela kanak-kanak tidak berdosa itu merupakan kewajipan agama yang tertinggi?” soalnya. – MalaysiaGazette
















