KUALA LUMPUR – Negara-negara Muslim diseru membangunkan keupayaan menghasilkan vaksin sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat farmaseutikal Barat yang didakwa menyebabkan kelewatan akses semasa pandemik lalu.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, pergantungan kepada vaksin buatan Barat telah menyebabkan negara Muslim terdedah kepada kelewatan bekalan, ketidaksamaan akses, harga tinggi dan manipulasi geopolitik, sekali gus menjejaskan keselamatan kesihatan awam.
“Keadilan vaksin tidak akan tercapai selagi negara Muslim kekal sebagai penerima pasif dan bukannya pengeluar aktif,” tegasnya ketika berucap di Persidangan Saintis Muslim 2025.
Persidangan ini turut menekankan tiga faktor utama bagi mencapai kemerdekaan vaksin iaitu keselamatan kesihatan awam, kedaulatan saintifik serta pertimbangan etika dan ekonomi sambil menegaskan bahawa pandemik lalu menunjukkan kelemahan negara Muslim tanpa pengeluaran vaksin sendiri.
Bagi memperkukuh usaha tersebut, persidangan menggesa penubuhan Konsortium Serantau Penyelidikan dan Pengeluaran Vaksin Dunia Islam melibatkan universiti, institusi penyelidikan, syarikat farmaseutikal, kementerian kesihatan dan rakan antarabangsa bagi menyelaras kepakaran dan membina keupayaan jangka panjang.
Antara keutamaan yang dicadangkan termasuk membangunkan platform vaksin, memperkukuh infrastruktur makmal, meningkatkan ujian klinikal, melatih penyelidik baharu dan membina hab pengeluaran untuk keperluan serantau.
Persidangan itu turut menegaskan dunia Islam memiliki bakat intelektual dan sejarah sains yang kuat untuk kembali berdikari dalam inovasi kesihatan awam, namun memerlukan komitmen politik dan pelaburan yang konsisten.
“Saintis Muslim pernah memimpin dunia dalam inovasi perubatan. Menghidupkan kembali legasi ini adalah kewajipan bagi melindungi generasi kini dan masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















