BATU KAWAN – Polis menahan seramai 33 penunggang motosikal termasuk seorang warga asing yang bertindak membahayakan pengguna jalan raya dengan menunggang secara melawan arus di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, sekumpulan lelaki berusia 16 hingga 27 tahun itu dikesan menunggang di lorong kereta ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) menjalankan operasi pada jam 3 pagi di Kilometer 3.8 menghala ke Batu Kawan.
“Apabila diarahkan berhenti, mereka sebaliknya berpatah balik ke arah Batu Maung secara melawan arus.

“Hasil tindakan pantas pasukan operasi, semua 33 lelaki ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, kita juga menyita 51 buah motosikal pelbagai jenama mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah beliau, dalam operasi sama, pihak polis memeriksa 110 motosikal serta mengeluarkan 74 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi menumpaskan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam sebarang perlumbaan haram kerana ia tidak memberi sebarang faedah, malah boleh mengundang padah,” katanya. – MalaysiaGazette















