Seorang lelaki maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya kemalangan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membelok tiba-tiba di Kilometer 44, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku pukul 10 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda CBR1000RR dan sebuah kereta Proton Saga Iswara.

“Siasatan mendapati mendapati motosikal tersebut yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menghala ke Kluang.

“Semasa sampai di tempat kejadian motosikal terbabit tidak sempat mengelak Proton Saga Iswara berkenaan yang datang dari arah bertentangan dan membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta tersebut seorang warga emas berusia 74 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala isterinya yang berusia 70 tahun cedera di bahagian dada.

Wanita berkenaan dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 (direct line) dan 014-365682 (tablet DCC). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast