ISKANDAR PUTERI – Misteri kehilangan pakaian dalam penduduk Taman Mutiara Rini, di sini, sejak beberapa minggu lalu akhirnya terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, misteri tersebut berjaya dirungkai susulan laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 50 tahun terkejut mendapati pakaian dalam miliknya dan isteri yang dijemur di rumah hilang secara tiba-tiba pada 13 November lalu.
“Susulan laporan itu, polis melakukan siasatan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun sekitar pukul 6.30 petang di Gelang Patah, semalam.
“Hasil daripada tangkapan dibuat, polis merampas 52 pasang baju dalam wanita pelbagai jenama, 12 seluar dalam wanita, dua seluar dalam lelaki dan sebatang penyangkut hijau.
“Pakaian itu disyaki hasil kegiatan mencuri di dua kawasan perumahan Mutiara Rini dan Gelang Patah,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, dengan penahanan lelaki itu, empat kes kecurian pakaian dalam berjaya diselesaikan.
Katanya, suspek kini direman empat hari mulai bermula hari ini sehingga 20 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette
















