KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Halim Sidek Gulam Hassan disahkan menarik diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.
Ia termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.
“Saya ingin menegaskan keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mustapha berkata, walaupun tidak bertanding, Abdul Halim Sidek telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada penduduk Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu disumbangkan.
Ujarnya, PKR Sabah menghargai semangat perjuangan Abdul Halim Sidek yang tidak pernah pudar demi rakyat dan negeri Sabah.
“Kami menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus dan terus memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan kita dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Terdahulu, kerusi DUN Silam mencuri perhatian selepas Abdul Halim Sidek turut menyerahkan borang pencalonan pasa saat-saat akhir sekali gus menyaksikan pertembungan dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan terkilan pemimpin GRS kerana disifatkan melanggar persetujuan awal antara kedua-dua parti.
Dengan pengumuman penarikan diri Abdul Halim Sidek itu, DUN Silam kini menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara calon GRS; Warisan; Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Damai Sabah (SPP); Parti Impian Sabah (PIS); Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta seorang calon Bebas.
Pada PRN-16 Sabah, DUN Silam yang sebelum ini dikenali sebagai Lahad Datu dimenangi calon Warisan, Dumi Pg Masdal dengan majoriti 1,542 undi dalam persaingan enam penjuru. – MalaysiaGazette
















