KUALA LUMPUR – Tular sebuah rakaman video mengenai kejadian pecah masuk rumah seorang usahawan produk kecantikan di kenali sebagai Nanad Bebe di Bandar Sungai Long, Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan anggaran kerugian sebanyak RM360,000.
“Pemeriksaan mendapati barangan berharga seperti barang-barang kemas milik isteri pengadu termasuk empat unit topi keledar jenama Shoei dan Arai telah hilang.
“Turut didapati dua buah motorsikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha LC 135 V8 yang diletakkan di dalam stor belakang rumah juga hilang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Naazron, maklumat berhubung kejadian tersebut telah diterima selepas suami kepada Nanad yang juga seorang penjawat awam berusia 32 tahun mendapati rumahnya diceroboh ketika beliau dan isterinya tiada di rumah.
Menurutnya, pasukan forensik juga dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk membantu siasatan.
Jelas Naazron, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai lima tahun dan akan dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan sebatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung ke Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















