KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah mendesak parti MIC meminta maaf kerana kerana tindakan parti itu meneroka pakatan dan kerjasama politik baharu.
Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi, berkata, lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Malah, katanya, Majlis Tertinggi UMNO juga tidak pernah berbincang atau mendesak MIC meminta maaf apabila presiden parti tersebut, Tan Sri SA. Vigneswaran menuduh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu.
Dakwanya lagi, MIC tidak pernah pun berbincang dengan UMNO ketika menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Julai 2020.
Dan, apabila MIC keluar PN pada Ogos 2020, juga bukan UMNO yang paksa kerana UMNO tahu MIC bukan parti junior.
Puad mendakwa masalah MIC sebenarnya adalah masalah seorang dua pemimpinnya yang tidak dapat jawatan.
“Walhal itu prerogatif PMX. Wakil rakyat MIC tidak ada masalah. Mereka tetap berkhidmat dengan baik,” ujar beliau lagi.
Namun, secara sinis Puad berkata, perwakilan MIC telah menyerahkan kepada pimpinan parti itu untuk membuat keputusan sama ada untuk keluar daripada Barisan Nasional tetapi jangan pula jadikan sejambak bunga daripada perdana menteri untuk berdolak-dalik.
“Kalau mahu sertai PH (Pakatan Harapan), tiada yang larang. Vigneswaran bukan “junior politician”. Bukan budak budak,” katanya.
Semalam, perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79.
Bagaimanapun, perwakilan menyerahkan kepada kepemimpinan MIC untuk memutuskan sama ada parti akan berbuat demikian dan membentuk jajaran baharu bersama PN pada masa yang sesuai.
Vigneswaran berkata, MIC tidak meminta maaf kepada UMNO kerana tindakannya yang meneroka pakatan dan kerjasama politik baharu selain Barisan Nasional (BN) demi kelangsungannya parti berteraskan masyarakat India di negara ini.
“MIC tidak akan meminta maaf kerana membuat pilihan untuk memperkasakan masyarakat kita. Kita tidak akan terintimidasi oleh naratif yang direka untuk memastikan kita terperangkap dalam politik.
“Kita tidak boleh diminta kekal setia kepada satu gabungan di mana ahli lain gabungan tersebut bertindak sepihak demi kelangsungan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
MIC tidak akan minta maaf kerana teroka pakatan politik baharu – Vigneswaran
















