KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah perlu melihat kepada sejarah dan mengimbas semula pelbagai rentetan semasa dengan bukti nyata dalam menyatakan sokongan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan parti-parti politik yang bertanding pada PRN-17 Sabah pernah mentadbir negeri itu termasuk Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, ujarnya, penduduk Sabah boleh menilai keadaan yang dialami mereka dalam setiap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan negeri dalam waktu parti-parti terbabit berkuasa.
Paling utama, tambah beliau, siapa kepimpinan tertinggi setiap parti politik terbabit serta di mana akar umbi mereka.
“Misalnya, lihat kepada dua parti politik utama di Sabah, GRS dan Warisan yang diketuai oleh Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) dan Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)…kedua-duanya lahir daripada kepimpinan yang berpaksikan UMNO/BN.
“Mereka ini diangkat oleh perjuangan akar umbi hingga menjadi menteri, ada tanggungjawab penuh dari Pusat untuk kemajuan Sabah namun akhirnya yang ‘kaya raya’ adalah mereka sedangkan anak bumi Sabah kekal dalam keadaan sedia ada,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Lebih teruk, dakwa Tengku Adnan, apabila Hajiji dan Mohd Shafie meninggalkan perjuangan UMNO dan BN dengan melompat parti serta kini menentang parti yang telah menaikkan nama mereka dalam politik tanah air.
“Ibaratnya kini mengkhianati nilai ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang pernah diangkat. Sudahlah ibarat kacang lupakan kulit malah menggigit pula tangan yang menyuap,” katanya yang dikenali sebagai Ku Nan.
Lebih daripada itu, menurut beliau, kepimpinan BN dituduh dengan pelbagai perkara dan diburukkan lantaran mahukan undi daripada sokongan rakyat.
Katanya, tuduhan ‘dinasour politik’ dituding sedangkan hakikatnya mereka menyembunyikan apa yang mereka ada dengan menyalahkan UMNO dan BN.
“Tingkah mereka ibarat menegakkan benang yang basah, memburukkan UMNO/BN dan kepimpinan walhal merekalah yang melakukan pelbagai pengkhianatan, bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada rakyat.
“Mereka meraih kejayaan, mengaut kemewahan dan mencapai kegemilangan dengan menjadikan UMNO/BN batu loncatan untuk keuntungan peribadi dan kini rakyat di gula-gulakan dengan pelbagai manipulasi dan persepsi memburukkan BN,” katanya.
Tambah Tengku Adnan, meskipun Sabah kaya dengan dengan hasil bumi namun malangnya perkara tiga serangkai iaitu elektrik, air dan jalan raya masih terus gagal diselesaikan.
Sedangkan, ujarnya, ketika BN mentadbir, banyak kawasan di Sabah mula mendapat manfaat termasuk kawasan luar bandar sehinggakan Projek Lebih Raya Pan Borneo dilaksanakan.
Namun apabila kerajaan bertukar tangan semuanya terbengkalai dan kelestarian yang didambakan rakyat terus hilang malah semakin mundur.
“Jangan salahkan BN atas kelewatan atau permasalahan tiga serangkai yang makin parah, sebaliknya nilai kembali apa yang berlaku lantas pilihlah yang terbaik.
“BN kini bertanding di PRN Sabah dengan misi ‘Bikin Balik Sabah’ iaitu usaha untuk menyambung semula legasi pembangunan yang telah direncana kerana parti lain sememangnya gagal … maka kenapa perlu memilih mereka.
“Pilihlah BN, demi rakyat, demi Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















