Beberapa individu warga aing ditahan dalam operasi besar-besaran oleh Jabatan Imigresen Malaysia. -Sumber Ihsan IMigresen Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seramai 18 warga asing ditahan dalam satu serbuan besar-besaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menumpaskan kegiatan ‘seks songsang’ dan urutan berbayar di sekitar Taman Miharja, di sini malam semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka terdiri daripada 15 lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki Vietnam, seorang lelaki India, serta seorang lelaki Myanmar bertindak sebagai penjaga premis.

“Semakan awal mendapati satu lelaki warganegara India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan dan satu lelaki warganegara Myanmar memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Turut disemak, dua lelaki warganegara Myanmar dan satu lelaki warganegara Vietnam telah tinggal lebih masa manakala 13 lelaki warganegara Myanmar yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pasukan operasi merampas satu naskhah pasport India, satu naskhah pasport Vietnam, enam naskhah pasport Myanmar, buku tempahan pelanggan, kunci premis, kondom dan minyak pelincir.

Jelas Zakaria, sindiket ini menawarkan urutan badan dan aktiviti seks songsang yang menyasarkan pelanggan asing dan tempatan.

Selain itu, katanya, promosi mengenai sindiket ini dibuat melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp dengan caj bermula RM200 hingga RM800, semuanya dibayar secara dalam talian.

“Seramai 13 lelaki warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, dan dua lelaki warga Myanmar lain serta satu lelaki warga Vietnam ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang lahi lelaki warga India dan satu lagi warga Myanmar ditahan di bawah Perundangan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lelaki tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi ini bermula pada 10.37 malam yang melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya, selepas risikan selama dua minggu yang turut disokong dengan maklumat awam.

Zakaria menegaskan JIM akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dami memelihara keamanan dan kestabilan Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast