KUALA LUMPUR – AirAsia X (AAX), peneraju penerbangan tambang rendah jarak sederhana meraikan satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran penerbangan terus pertama dari Kuala Lumpur ke Istanbul semalam.
Ia sekali gus kemasukan sulung ke Türkiye dan memperkukuh rangkaian yang semakin berkembang di Asia dan seterusnya.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen itu menjadi detik bersejarah bagi AAX kerana menghubungkan Malaysia dengan salah satu bandar paling dinamik dari segi budaya dan ekonomi di dunia.
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelancaran itu menandakan perkhidmatan pertama AAX ke Turkiye yang membuktikan komitmen syarikat penerbangan itu mengembangkan rangkaiannya di luar Asia serta menawarkan pilihan perjalanan jarak jauh mampu milik untuk semua golongan.
“Pelancaran perkhidmatan pertama kami ke Istanbul merupakan langkah berani yang telah lama dinantikan dalam strategi pertumbuhan jarak jauh AirAsia X kerana Turkiye mewakili pasaran yang kukuh dan dinamik dengan potensi besar bagi perjalanan santai dan perniagaan.
“Laluan baharu ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan rangkaian kami antara Asia Tenggara dan Eurasia tetapi juga mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah.
“Apabila permintaan terhadap perjalanan antarabangsa ke pelbagai destinasi utama di Eropah, Asia Tengah dan Timur Tengah terus meningkat, kami tetap fokus untuk mengembangkan pasaran strategik yang memperkukuh jejak global kami serta memberikan nilai lebih kepada para tetamu, rakan kongsi dan pihak berkepentingan di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, Istanbul merupakan salah satu destinasi yang mempunyai permintaan yang tinggi oleh para tetamu kami di mana ianya kaya dengan sejarah, budaya dan perdagangan.
Katanya, dengan perkhidmatan baharu, syarikat itu bukan sekadar melancarkan sebuah laluan, malah ia hubungan yang penting antara Asia Tenggara dan Eropah.
“Turkiye telah menyambut lebih 62 juta pelawat antarabangsa pada tahun lepas dan kami teruja untuk menjadikannya lebih mudah diakses serta mampu milik bagi rakyat Malaysia dan pengembara di seluruh rantau Asean, terutamanya dengan perkhidmatan Fly-Thru AirAsia yang meliputi lebih ke 130 destinasi.
“Penerbangan pertama ini juga tiba pada waktu yang tepat selaras dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam menyokong usaha negara untuk meningkatkan sektor pelancongan dan kesalinghubungan serantau.
“Ia juga berperanan sebagai langkah penting dalam membina semula rangkaian kami dan mengukuhkan pengoperasian kami dalam perjalanan jarak jauh tambang rendah dengan menghubungkan lebih ramai orang, lebih kerap dan lebih banyak destinasi,” katanya.
AAX kini terbang ke Istanbul dengan empat penerbangan setiap minggu dengan menawarkan lebih 150,000 tempat duduk setahun menerusia tambang bermula daripada RM749*termasuk semua sehala.
Tambang promosi kini boleh ditempah mulai hari ini sehingga 30 November ini untuk tempoh perjalanan antara sekarang dan 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. – MalaysiaGazette















