KUALA LUMPUR – Tiada isu pengguna terpaksa menunggu dan berbaris panjang untuk mengisi petrol di stesen sepanjang pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95).
Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying berkata, program subsidi tersebut disediakan dengan kapasiti pelayan yang jauh lebih besar yang mampu memproses 30,000 transaksi seminit.
“Betul ada sedikit isu teknikal (stesen petrol tidak dapat verifikasi kad pengenalan) berlaku. Kita memang memantau pelaksanaan ini berterusan dan am tapi keseluruhan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya di Dewan rakyat hari ini.
Menurut Hui Ying, sehingga semalam, seramai 13.6 juta rakyat telah melaksanakan lebih daripada 143.5 juta transaksi pengisian petrol di bawah program BUDI95.
“Kadar transaksi mencatatkan puncak sebanyak 41.2 ribu transaksi seminit manakala purata kadar transaksi adalah sekitar 15 ribu transaksi seminit,” tambahya.
Hui Ying turut mengingatkan rakyat khususnya yang layak menerima BUDI95 supaya sentiasa memastikan kad pengenalan sentiasa berfungsi dengan baik bagi memudahkan transaksi pembelian RON95.
“Berkenaan verifikasi kad pengenalan ini penting untuk pengguna yang membeli RON95 jadi kita mesti pastikan dokumen pengenalan mesti dalam keadaan baik dan berfungsi sempurna untuk memudahkan urusan harian.
“Sekiranya para pengguna menghadapi masalah MyKad termasuk kerosakan cip atau kegagalan identity dikesan digesa pergi segera ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar MyKad,” jelasnya menjawab soalan Roslan Hashim (Sungai Besar-PN) berkenaan berlaku kesukaran pengesahan MyKad di stesen petrol tertentu.-MalaysiaGazette
















