Zakaria Shaaban

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen hari ini menafikan dakwaan bahawa kapasiti depot tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara sesak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kapasiti sedia ada mencukupi kerana pengusiran PATI dilakukan setiap hari.

Menurutnya, jumlah kapasiti PATI di 21 depot di seluruh negara adalah seramai 21,530 orang tahanan.

Sehingga kini, seramai 21,092 PATI ditahan dalam depot di seluruh negara manakala jumlah pengusiran yang telah dilakukan setakat ini adalah 50,419 orang.

“PATI yang paling ramai dalam depot ketika ini adalah warga Myanmar iaitu 8,884 orang termasuk 5,105 etnik Roohingya diikuti Filipina (4,727 orang) dan Indonesia (3,838 orang).

“Kenyataan dikeluarkan Pengarah Imigresen Kedah dakwa depot kita penuh dan sebagainya adalah tidak begitu tepat, saya akui di depot Belatik, Kedah itu penuh tetapi kita mempunyai 20 lagi depot lain.

“Sekiranya banyak tangkapan di Kedah, kita masih boleh tempatkan di depot-depot luar dari  situ, tiada masalah kerana perkara itu dalam bidang kuasa Ketua Pengarah jadi tiada timbul sebarang isu.

“Setiap hari juga ada yang diusir dan ada tangkapan jadi data akan turun naik namun kita kena pastikan depot sentiasa mempunyai kapasaiti supaya tindakan penguatkuasaan tidak perlu berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Imigresen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Media melaporkan, seramai 14,000 etnik Rohingya dikenal pasti berada di Kedah berdasarkan kemas kini data yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri di semua daerah termasuk Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Kubang Pasu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, angka itu merangkumi pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu tanpa sebarang dokumen sah.

Berhubung isu pelarian termasuk Rohingya, Zakaria berkata, kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempunyai satu dasar khusus untuk mendaftrkan mereka melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“Kita sedang berusaha mendapatkan jumlah sebenar pelarian di negara ini kerana ketika ini kita hanya bergantung kepada data di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR).

“Jadi kita tidak dapat pastikan sama ada data dikeluarkan mereka (UNHCR) adalah tepat atau tidak, dan pemerhatian kemungkinan lebih daripada yang dilaporkan UNHCR kepada kita.

“Maka kerajaan akan mengambil keputusan untuk melakukan pendaftaran semula semua pelarian termasuk Rohingya ini dan kita mempunyai hala tuju seterusnya selepas pendaftaran ini,” jelasnya.

Tambah beliau, sebahagian pelarian ini didapati memegang kad UNHCR tulen dan palsu namun ada juga sebahagian pelarian kosong.

“Sekiranya kita dapati kad itu palsu, mereka akan terus ditahan di depot-depot imigresen tetapi kalau kad tersebut adalah tulen, kita menghormati UNHCR, jadi kita akan bebaskan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast