Julita Ilhani Abdul Jabbar

KUALA LUMPUR – Dewan Pengarah Syarikat Malaysia (MCCD) mengumumkan pelantikan Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 11 November lalu selepas pengaktifan semula rasmi dewan berkenaan pada Oktober tahun ini.

Pelantikan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat sulung MCCD yang turut menyaksikan Amarution Nadaraja dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi bersama barisan Majlis dan Sekretariat baharu bagi menerajui fasa transformasi organisasi tersebut.

Julita Ilhani merupakan profesional berpengalaman dalam sektor perundangan dan korporat, dengan kepakaran dalam tadbir urus, mediasi, pembangunan dasar serta khidmat nasihat lembaga pengarah.

Penglibatan beliau merangkumi kerjaya guaman, jawatan pengarah korporat, akademik dan peranan aktif dalam NGO nasional.

Beliau dijangka memacu hala tuju baharu MCCD sebagai platform yang menghubungkan pengarah syarikat, pembuat dasar dan peneraju industri untuk memperkukuh tadbir urus serta mempercepat pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

MCCD turut mengumumkan penubuhan Majlis Bertindak PKS MADANI (MBPM), sebuah inisiatif pemuafakatan awam–swasta yang menghimpunkan NGO ekonomi, industri, akademia serta rakan korporat bagi mengukuhkan koordinasi pelaksanaan dasar PKS negara.

Inisiatif itu mengambil kira kepentingan PKS kepada ekonomi negara, termasuk lebih 1.2 juta PKS berdaftar, merangkumi 97% daripada keseluruhan perniagaan, menyumbang kira-kira 38% KDNK, menggaji 48% tenaga kerja negara dan mewakili 17% eksport Malaysia.

“Majlis Bertindak PKS MADANI akan memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing PKS, memacu transformasi digital serta memperluas penyertaan dalam ekonomi hijau dan sosial,” kata DJulita.

Beliau menegaskan bahawa matlamat jangka panjang adalah membolehkan perusahaan Malaysia muncul sebagai ‘Jaguh PMKS Serantau’ yang berteraskan kelestarian dan inovasi dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Pelancaran rasmi Majlis Bertindak PKS MADANI dijadualkan pada penghujung 2025, menandakan era baharu peranan MCCD sebagai penggerak utama kolaborasi nasional dalam memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat dan pembangunan PKS negara.

MCCD, sebuah pertubuhan nasional tidak berasaskan keuntungan, komited membina kepimpinan korporat yang beretika, meningkatkan jaringan profesional dan menyokong tadbir urus bertanggungjawab masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast