KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa tadbir urus dan meningkatkan integriti dalam industri farmaseutikal adalah satu bidang yang bukan sahaja penting kepada sektor kesihatan tetapi juga kepada rangka kerja ekonomi negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, usaha itu selari dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya baru-baru ini yang menyarankan syarikat di negara ini untuk give back to society dengan menyokong program yang meningkatkan integriti dan ketelusan serta memperkukuh usaha penguatkuasaan oleh agensi awam.
Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan amalan korporat sejajar dengan standard negara dan memainkan peranan bermakna dalam membentuk masyarakat yang telus, bertanggungjawab serta beretika.
“Inilah intipati kerjasama awam-swasta di mana penguatkuasaan yang dilengkapi galakan dan peraturan yang diperkukuh dengan penyertaan.
“Adalah penting untuk menyedari bahawa manfaat daripada kerjasama ini bukan sahaja memberikan penjimatan kewangan atau potongan cukai tetapi mencerminkan komitmen terhadap amalan perniagaan beretika,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Memperkasa Tabdir Urus Dalam Industri Farmaseutikal di sini hari ini.
Forum itu diianjurkan oleh SPRM, Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Pharmaniaga Berhad bertujuan memperkukuh tadbir urus serta amalan beretika dalam industri farmaseutikal melalui pemerkasaan dialog terbuka antara agensi penguatkuasaan, pengawal selia dan pemegang taruh industri.
Menurut Azam, forum ini juga memberi penekanan terhadap inisiatif kerajaan mengenai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang turut terpakai kepada perbelanjaan yang ditanggung oleh syarikat seperti Pharmaniaga Berhad dalam menyokong program antirasuah yang dilaksanakan ini.
“Inisiatif ini juga selaras dengan Sub-Strategi 5.1 Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, yang menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta dalam memperkukuh tadbir urus organisasi dan meningkatkan usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional,” katanya.
Menerusi inisiatif seperti itu, syarikat yang mengamalkan tadbir urus yang baik dan menyokong program antirasuah secara aktif menghantar mesej jelas kepada pemegang taruh, pekerja dan masyarakat bahawa kejayaan perniagaan serta kesejahteraan sosial berjalan seiring. – MalaysiaGazette
















