Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang kertas cadangan daripada Genting Malaysia Berhad berhubung cadangan kutipan tol atau sebarang bentuk caj baharu untuk akses ke kawasan persendirian miliknya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setakat ini tiada dokumen atau permohonan rasmi dikemukakan kepada beliau.

“Saya belum terima apa-apa (kertas cadangan) daripada pihak Genting,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Lembaga Arkitek Malaysia Townhall 2.0, di sini hari ini.

Berhubung cadangan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan agar menggunakan istilah “caj masuk” sebagai alternatif kepada tol bagi mengelakkan kekeliruan, Nanta berkata cadangan berkenaan adalah wajar dan lebih mudah difahami.

“Saya setuju dengan pandangan beliau sebab bila sebut tol, ia mengelirukan. Tol ini kita biasa dengan lebuh raya. Jadi bagi saya, cadangan beliau supaya ia dipanggil “caj masuk” adalah lebih baik,” katanya.

Genting Malaysia Berhad sebelum ini telah mengesahkan akan mengenakan caj bayaran bagi kenderaan memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Berikutan itu, Ahmad Maslan menggesa agar pihak Genting memastikan pengecualian yang adil dengan hanya mengenakan caj bagi kenderaan memasuki kawasan terbabit bagi tujuan beriadah dan bukan sebagai caj menyeluruh kepada semua pengguna jalan raya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast