KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 24 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Poipet, Kemboja akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air baru-baru ini menerusi operasi kemanusiaan diselaraskan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Rao, bekas pemandu lori dari Johor itu pada awalnya dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan di sebuah kasino luar negara.
Namun tawaran itu tidak lebih daripada kerja scammer yang memindahkan mangsa ke pusat operasi penipuan dan dikurung oleh sindiket didalangi warga China.
Difahamkan, mangsa mengalami penyeksaan fizikal termasuk berada dalam keadaan terikat serta diletakkan dalam posisi terbalik tanpa pakaian, makanan serta dikurung dalam bilik gelap selama berhari-hari.
Malah sindiket itu memeras ugut wang tebusan sebanyak RM30,000 jika mahu dilepaskan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perjalanan membawa pulang mangsa bermula selepas keluarga Rao menghubungi dan memohon bantuan dalam keadaan cemas kerana tidak dapat menghubunginya sejak 27 Oktober lalu.
“Keluarga Rao datang merayu bantuan dan mereka betul-betul dalam keadaan terdesak. Mereka beritahu anak mereka dijanjikan kerja di kasino tetapi bila sampai ke sana dia dipindahkan ke tempat lain dan dipaksa buat kerja scam.
Mereka mula perasan ada sesuatu yang tak kena bila dia mula bercakap dalam keadaan takut dan tidak bebas,” katanya ketika kepada MalaysiaGazette.
Menurut Hishamuddin, keluarga mangsa turut menunjukkan bukti perbualan, lokasi terakhir dan tuntutan wang tebusan oleh ejen yang mendakwa mampu membebaskan Rao.
“Keluarga sudah buat laporan polis tapi mereka tetap datang kepada MHO sebab mereka tahu sindiket begini memerlukan koordinasi rentas negara. Mereka minta kami percepatkan usaha, takut anak mereka dipindahkan ke lokasi lain.
“Kita sebelum ini ada buat sidang media mendedahkan kehilangan Rao dan telah menerima maklumat tambahan daripada rangkaian aktivis dan individu yang pernah terlibat dalam usaha menyelamat mangsa pemerdagangan manusia.
“Hanya selepas itu kami dapat maklumat bahawa bukan Rao seorang, tetapi ada enam rakyat Malaysia yang turut dikurung sindiket sama. Dari situ pasukan kami mula menjejak,” tambah beliau.
Menurutnya, MHO kemudian berhubung terus dengan Kementerian Dalam Negeri Kemboja serta pasukan Task Force anti-pemerdagangan di negara itu untuk mengesan lokasi tepat mangsa.
“Kami berkoordinasi rapat dengan pihak KDN Kemboja. Lokasi sindiket ini bergerak dan keselamatan mangsa sangat kritikal. Selepas beberapa siri rundingan dan tekanan daripada pihak berkuasa, dua mangsa berjaya dilepaskan termasuk Rao,” katanya.
Hishamuddin turut menjelaskan proses membawa pulang mangsa dilakukan dalam keadaan terancang kerana sindiket pada bila-bila masa boleh menarik balik pelepasan.
“Kami terus aturkan tiket kapal terbang, pengesahan identiti, pengawalan keselamatan sehinggalah mangsa berjaya menaiki pesawat pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, Rao tiba dengan selamat Jumaat lepas,” katanya.
Dalam masa sama, Hishamuddin mendedahkan, empat lagi rakyat Malaysia yang dipercayai masih dikurung sedang dikenal pasti lokasinya.
“Kami tidak akan berhenti. Selagi ada rakyat Malaysia yang terperangkap, MHO akan teruskan usaha bersama pihak berkuasa Kemboja. Kita mahu mereka semua pulang,” tegasnya. -MalaysiaGazette















