Finalis dari MalaysiaGazette yang memenangi beberapa anugerah bergambar pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) Tahun 2025 KPKT di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – MalaysiaGazette (MG) berjaya merangkul tiga Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 dan satu Anugerah Pakaian Terbaik di Hotel Pavilion di sini malam tadi.

Wartawan, Nur Arina Asbar dan jurukamera, Muhammad Hafiz Zaharuddin memenangi tempat pertama kategori Anugerah Video Portal atau Dalam Talian 2025 menerusi video bertajuk ‘Hidup di Bandar, Realitinya Tingal Rumah Usang dan Kotor, Sampai Bila?’ membolehkan mereka membawa wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (empat dari kanan)  bersama pemenang Anugerah Video Portal Dalam Talian Terbaik 2025 pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) Tahun 2025 KPKT di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2025.

Sementara itu, video berjudul ‘Awas Ulat Sampah! Pakai Baju Hijau Cuci Longkang Dan Bayar Kompaun’ oleh wartawan, Rosnani Nasir dan jurukamera, Muhammad Fauzi Khairol Anuar meraih tempat kedua bagi kategori sama dengan membawa pulang RM2,000 dan trofi.

Selain itu, bagi Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik 2025 bertajuk ‘Kilang Kapas Terbakar’ oleh Mohd Azlan Mat Sidek memenangi tempat kedua dan membawa pulang RM2,000 berserta trofi.

Pemenang Busana Wanita Terbaik, Rosnani Nasir bergambar pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media Tahun 2025 KPKT di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2025.

Tidak ketinggalan, Rosnani turut memenangi pakaian terbaik iaitu ‘Anugerah Queen Of Rock 2025’ dengan menggayakan set denim bersama but kulit sekali gus membawa pulang RM500 beserta topi.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pemenang tempat pertama Anugerah Video Portal Dalam Talian Terbaik 2025, Muhammad Hafiz Zaharuddin dan Nur Arina Asbar dari MalaysiaGazette  pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) Tahun 2025 KPKT di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 NOVEMBER 2025.

Arina ketika ditemui bersyukur dengan kemenangan pertama kali diraihnya itu dan menganggap tugasan yang dilakukan menghadapi pelbagai cabaran dalam menyiapkan laporan tersebut.

“Alhamdulilah, saya gembira dan bersyukur kerana ini kali pertama saya masuk bertanding. Intipati dalam anugerah ini adalah flat usang dan terdapat pelbagai cabaran dilalui.

“Antara kesukaran dalam tugasan saya adalah mencari flat usang sebab perlu tukar banyak kali lokasi, keselamatan ketika bertugas kerana lokasi banyak warga asing serta bagi mendapatkan luahan penduduk tentang permasalahan dilalui.

“Saya harap selepas ini, lebih ramai lagi wartawan menyuarakan pendapat penduduk atau masyarakat setempat kerana media adalah platform untuk sampaikan mesej sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast