PARIS – Muzium Louvre di sini akan menutup salah satu galerinya disebabkan berlaku kelemahan struktur.
Galeri Campana yang terdiri daripada sembilan bilik yang menempatkan seramik Yunani akan kekal ditutup sementara jurutera menyiasat “rasuk tertentu yang menyokong lantai,” kata Louvre.
Pengumuman itu menambah perhatian yang tidak diingini oleh muzium itu susulan rompakan berprofil tinggi bulan lalu mengakibatkan kehilangan barang kemas bernilai €88 juta (£76 juta; AS$102 juta).
Kritikan telah tertumpu pada keselamatan longgar di muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia di ibu negara Perancis itu.
Louvre dikritik kerana membelanjakan wang untuk seni dan bukannya keselamatan pada tahun-tahun sebelum rompakan.
Empat orang telah ditangkap susulan rompakan itu, tetapi barang kemas itu masih belum ditemui semula.
Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, Louvre berkata, isu struktur berkenaan melibatkan pejabat di tingkat dua di atas Galeri Campana di sayap Sully muzium berkenaan.
“Semasa siasatan ini, Galeri Campana… akan ditutup kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Tiga minggu selepas kecurian barang kemas itu, satu laporan dikeluarkan oleh Mahkamah Audit mengkritik pengurus yang lebih suka melabur dalam karya seni dan pameran baharu daripada penyelenggaraan dan perlindungan asas muzium.
Berdasarkan penemuannya pada tahun 2018-24, laporan itu mendapati muzium itu telah membelanjakan €105.4 juta (£92.7 juta) untuk membeli karya seni baharu dan €63.5 juta untuk ruang pameran.
Tetapi, ia hanya membelanjakan €26.7 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan, dan €59.5 juta untuk pemulihan bangunan istana.
Pada hari rompakan itu, suspek tiba pada 9.30 pagi (07:30 GMT), sejurus selepas muzium dibuka kepada pelawat.
Suspek tiba dengan lif mekanikal yang dipasang pada kenderaan curi untuk mendapatkan akses ke Galerie d’Apollon (Galeri Apollo) melalui balkoni berhampiran Sungai Seine.
Lelaki-lelaki itu menggunakan pemotong cakera untuk memecahkan kotak pameran yang menempatkan barang kemas tersebut.
Pendakwa raya berkata, pencuri berada di dalam selama empat minit dan melarikan diri dengan dua skuter menunggu di luar pada jam 09,38, sebelum beralih ke kereta.
Salah satu barang curi – sebuah mahkota telah terjatuh semasa mereka melarikan diri manakala tujuh barang kemas yang lain belum ditemui.
Kebimbangannya ialah mereka telah pun dibawa ke luar negara, walaupun pendakwa raya yang bertanggungjawab ke atas kes itu berkata, beliau masih berharap barang-barang kemas itu dapat dapat ditemui semula dalam keadaan utuh.
Mereka yang ditangkap atas rompakan yang mengejutkan Perancis itu semuanya adalah penjenayah kecil dan bukannya profesional jenayah terancang, kata pendakwa raya Paris.
Sejak kejadian itu, langkah keselamatan telah diperketatkan di sekitar institusi kebudayaan Perancis.
Louvre juga telah memindahkan beberapa barang kemasnya yang paling berharga ke Bank of France. – Agensi
















