KUALA LUMPUR – Malaysia sedang memperkukuh langkah perlindungan terhadap kanak-kanak daripada ancaman dunia siber termasuk kes buli dan eksploitasi seksual dalam talian melalui penambahbaikan dasar yang kini pada peringkat akhir penelitian.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, semua usaha dan dasar baharu itu diselaraskan sepenuhnya dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah diratifikasi Malaysia sejak 1995 bagi memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak sentiasa selari dengan standard antarabangsa.
Menurutnya, isu-isu baharu seperti buli fizikal dan buli siber sudah dimasukkan dalam program perlindungan yang sedang dibangunkan dan akan diperluas ke seluruh negara.
“Segala tindakan yang kita lakukan mesti selari dengan CRC. Kita memasukkan elemen baharu termasuk isu-isu kesihatan, buli dan keselamatan dalam talian. Sebab itu program seperti ini sangat penting.
“Kita mahu pastikan apa yang kita laksanakan bukan sahaja relevan dalam negara tetapi juga bergerak seiring dengan perkembangan serantau,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran 2025 ASEAN ICT Forum on Child Online Protection yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir pada majlis itu wakil UNICEF ke Malaysia, Robert Gass.

Nancy berkata, isu perlindungan kanak-kanak tidak lagi boleh dibincangkan dalam ruang lingkup nasional semata-mata kerana ancaman siber bergerak merentasi sempadan.
Sebaliknya Malaysia kini bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN, Australia serta agensi antarabangsa termasuk UNICEF bagi menyelaras pemantauan dan tindakan balas terhadap aktiviti jenayah yang melibatkan kanak-kanak.
Menurutnya, apa yang berlaku di Malaysia sering kali mencerminkan tren serantau dan kerjasama itu amat diperlukan.
Ketika ditanya mengenai peningkatan kes eksploitasi seksual dalam talian, Nancy berkata, angka terbaharu hanya boleh disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia merupakan data perlindungan namun mengakui kes-kes tersebut menunjukkan tren peningkatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Peningkatan itu didorong dua faktor utama iaitu laporan yang semakin banyak hasil kesedaran masyarakat dan peluang jenayah yang semakin meluas kerana aktiviti dalam talian hari ini bergerak terlalu pantas.
Sebahagian kanak-kanak juga, katanya, mudah terpedaya kerana tidak memahami sepenuhnya risiko dunia digital.
Dalam pada itu, Nancy menegaskan, perlindungan kanak-kanak memerlukan kerjasama menyeluruh daripada komuniti, ibu bapa, guru dan pihak berkepentingan lain.
Jelasnya, guru-guru juga perlu diberi latihan dan pengetahuan untuk mengesan tanda awal, manakala sokongan keluarga menjadi benteng pertama dalam mencegah kanak-kanak daripada menjadi sasaran pemangsa dalam talian.
“Beberapa penambahbaikan terhadap Akta Kesalahan Kanak-Kanak telah dibuat sejak dua tahun lalu termasuk mengambil kira input daripada negara serantau seperti Indonesia.
“Malaysia telah mengenal pasti kumpulan muda berusia 15 hingga 24 tahun sebagai paling berisiko tinggi berdasarkan dapatan bahawa antara 14 hingga 16 peratus daripada mereka tidak berada dalam pendidikan, pekerjaan atau latihan satu keadaan yang membuka ruang kepada pelbagai aktiviti berbahaya dalam talian.
“Kita perlu berhati-hati dan pada masa sama memastikan sokongan komuniti dan perkhidmatan bantuan sentiasa tersedia. Ini semua memberi kesan langsung kepada apa yang kita lakukan hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette















