Ketua Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Gum-Gum Abdul Said Pimping kepada pengundi pada majlis sembang santai MADANI bersama calon PH hari ini.- Gambar FB Saifuddin

SANDAKAN – Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan nama Abdul Halim Sidek Gulam Hassan dalam senarai calon bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan peruntukan undang-undang, nama calon yang telah disahkan bertanding tidak boleh dikeluarkan daripada kertas undi.

Beliau menjelaskan bahawa PKR telah menghentikan semua gerak kerja kempen di DUN berkenaan.

“Apabila kita kata tarik diri, maknanya semua operasi kempen dihentikan. Itu bermakna calon kita tidak lagi turun berkempen atau meraih undi.

“Undang-undang menyatakan bahawa sejurus selepas kertas penamaan calon dihantar, diterima dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, nama calon kekal. Jadi, biarkan sahaja,” katanya kepada media semasa program Sembang Santai bersama calon PH Gum Gum di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menerusi kenyataan memaklumkan Abdul Halim menarik diri daripada PRN ke-17 selepas perbincangan diadakan bersama pimpinan tertinggi PH.

Selepas selesai proses penamaan calon PRN ke-17 pada Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru dalam usaha meraih sokongan daripada 28,261 pengundi.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus, menjelaskan bahawa nama calon PH kekal tersenarai dalam kertas undi meskipun Abdul Halim menyatakan hasrat untuk menarik diri selepas hari penamaan calon.

Beliau menegaskan bahawa tiada seorang calon pun dibenarkan menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan, menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

SRP menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov untuk hari mengundi awal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast