ISKANDAR PUTERI – Masalah bom lama dan kubur bangsawan di dua daerah dalam Johor menjadi cabaran utama untuk 11 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu, masalah bom lama terdapat di Segamat dan kubur bangsawan pula di Kota Tinggi.
“Projek RTB melibatkan empat daerah iaitu Segamat, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat. Di daerah Segamat, ada dua projek yang mana salah satu projek iaitu projek fasa tiga ada melibatkan isu bom lama.
“Isu bom lama di tapak masjid di tebing Sungai Gatom, Labis ini telah pun ada penyelarasan daripada pihak Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Dalam Negeri juga polis dan kemudian melibatkan juga Majlis Keselamatan Negeri.
“Sekarang ini dalam proses penyediaan BQ (senarai kuantiti) kerja untuk kita keluarkan kawasan ini dan dijangka boleh siap sebelum bulan Jun,” katanya.
Mohamad Fazli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Menurutnbya, di Kota Tinggi terdapat isu melibatkan 307 kubur yang dikenal pasti kemungkinan adalah milik bangsawan Aceh melalui pengenalan di batu nisan di Kampung Panti dan di Makam Danau Raja.
“Kubur-kubur itu mungkin milik bangsawan-bangsawan terdahulu. Jadi, alhamdulillah dapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Kadi, Insya-Allah kerja-kerjanya telah pun difatwakan dan akan diselesaikan menjelang Februari tahun depan.
“Kita target sebelum Februari sebab kita tak nak nanti akan ada kelewatan sebab melibatkan bulan puasa, raya dan sebagainya,” katanya dan memberitahu semua halangan itu berjaya diatasi malah projek di daerah terlibat siap lebih awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir itu berkata, ketika ini, hanya satu projek RTB lewat disiapkan iaitu di Empangan Sembrong yang kini dalam proses reka bentuk.
“Empangan Sembrong ini pada asalnya ialah untuk tadahan air hujan tetapi atas keperluan semasa di kawasan tersebut air tersebut digunakan untuk loji rawatan air Sembrong.
“Jadi, air yang sepatutnya dilepaskan setelah enam bulan itu terpaksa ditakung disebabkan itu kita perlu tukar reka bentuknya supaya lebih tahan lama,” ujarnya.
Bagi projek RTB di Lembangan Sungai Muar Fasa 2, Muar pula telah ditamatkan khidmat kontraktor asal kerana tidak mampu menyiapkan projek tersebut.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan tambahan sudah pun lulus dan sekarang dalam proses pelaksanaan di tapak.
“Insya-Allah projek di Muar dan Tangkak boleh siap menjelang 2027. Satu lagi ialah melibatkan Batu Pahat di kawasan pekan Parit Sulung, Seri Medan,” katanya. – MalaysiaGazette
















