Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Desas desus Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kononnya bakal dilantik menjadi Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin kini disebut di Dewan Rakyat.

Perkara itu disentuh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang tiba-tiba mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya itu.

“Saya nak ucap syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya (Radzi) yang khabarnya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen.

“Takziah kita ucapkan kepada Ahli Parlimen Larut (Hamzah) yang akan dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Selamat bertugas kepada Ahli Parlimen Putrajaya,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan hari ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Bagaimanapun tiada kenyataan daripada Bersatu mengenai desas-desus itu malah ada wakil rakyat parti itu menafikan perkara itu dengan menganggapnya sekadar propaganda politik.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan tular satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November lalu kononnya didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu yang mahu tindakan segera diambil ke atas individu tertentu bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti itu.

Surat tanpa kepala surat rasmi itu mengandungi perkataan sulit itu mencadangkan agar Bersatu melantik Radzi sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Hamzah.

Malam ini, kediaman presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi tumpuan ekoran mesyuarat pemimpin parti berkenaan.

Dalam masa yang sama, satu protes anti-Muhyiddin juga mungkin diadakan di luar kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Sebagai rekod, dua minggu lalu sekumpulan 19 ahli Parlimen Bersatu menandatangani surat kepada Muhyiddin sebagai bantahan terhadap tindakan disiplin ke atas Datuk Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Hamzah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast