Mohd Jafni berucap dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Pendekatan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor yang lebih tegas dan agresif menggempur perniagaan dikendalikan warga asing menunjukkan hasil ketara apabila nilai kompaun direkodkan melonjak lima kali ganda tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap warga asing yang meniaga tanpa kebenaran sah itu berjaya mengutip kompaun daripada RM30,000 sebelum ini kepada RM180,000.

Jelas beliau, jumlah tersebut bagi tempoh Disember 2024 hingga Oktober lalu dalam usaha membanteras pelanggaran undang-undang membabitkan aktiviti perniagaan warga asing tanpa lesen.

“Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, tindakan sitaan barangan, pengeluaran kompaun, pembatalan lesen, penutupan premis serta rampasan lesen bergantung kepada tahap, risiko dan jenis pelanggaran undang-undang.

“Hasil operasi sepanjang tempoh sama juga, penguatkuasaan merekodkan 158 notis kesalahan, 304 kompaun, dan 552 tindakan sitaan.

“Selain penutupan sementara premis dengan pemasangan tali kuning sebagai langkah kawalan dan pencegahan pengulangan kesalahan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Tan Eng Meng (BN–Pekan Nanas) mengenai tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dimiliki atau dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah.

Mohd Jafni menjelaskan, menerusi operasi itu majoriti PBT turut mengenal pasti bahawa banyak premis sebenarnya dimiliki oleh warga tempatan, namun diserahkan pengurusannya kepada warga asing.

Beliau memberitahu, ini melibatkan sektor seperti kedai runcit, serbaneka dan pusat cuci kereta.

Menurut Mohd Jafni, tindakan itu dilaksanakan melalui rondaan harian, pemeriksaan berkala, operasi besar-besaran serta kerjasama strategik bersama-sama agensi penguatkuasaan.

Ini melibatkan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Tenaga Kerja dan agensi lain yang berkaitan, katanya.

Ujarnya, pendekatan itu dilakukan secara bersepadu untuk memastikan pelaksanaan undang-undang berjalan dengan tegas dan konsisten.

“Ini berasaskan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Akta 171 serta peraturan imigresen, disokong pemantauan berjadual dan pemberitahuan kepada pemilik premis untuk menghalang pemindahan lesen secara tidak sah atau penyalahgunaan premis oleh warga asing,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast