PUTRAJAYA – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu parti komponennya, MIC sejurus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keutamaan BN dan komponennya ketika ini adalah memberi tumpuan kepada PRN Sabah.
“Ya, saya percaya kita (BN) akan memberi keutamaan dalam isu MIC, kita akan berikan keutamaan dan saya fikir semua parti komponen ketika ini mempunyai persefahaman (beri keutamaan kepada PRN Sabah).
“Jadi, kita selesaikan dulu di Sabah dan ia difahami oleh semua parti komponen (BN) dan selepas itu kita akan bersama-sama berbincang dalam semangat Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, media melaporkan, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Pada hari sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Vigneswan berkata MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.
Ditanya mengenai spekulasi tempoh Senatornya disambung dan kemungkinan akan bertukar portfolio jika berlaku rombakan Kabinet, Zambry mengakui tidak mempunyai maklumat dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya serahkan kepada Perdana Menteri kerana soal perlantikan-Senator, sambung (tempoh Senator), saya tidak boleh menjawab,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette
















