KUANTAN – Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) memiilih 52 premis di lokasi dalam 11 daerah di negeri ini dalam usaha mempromosi masakan popular di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, usaha tesebut sekali gus membantu peniaga meningkatkat ekonomi mereka di samping mengamalkan kualiti keterjaminan makanan.
Menurutnya, kesemua premis yang dipilih telah menerima sijil pengiktirafan dan plak daripada Kerajaan Pahang berdasarkan empat komponen asas penilaian.
“Empat perkara yang dinilai dalam program ini ialah kebersihan dan keselamatan makanan, kedua pemantauan halal/Syariah Asas,
“Ketiga melibatkan pematuhan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan keempat pemantauan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika sidang media selepas merasmikan program DMMSNP di sini.
Jelasnya, Pahang terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisional yang diwarisi turun-temurun dan masih dikekalkan hingga ke hari ini.
Antaranya gulai patin tempoyak yang begitu tersohor sehingga ada yang sanggup merantau dari jauh semata-mata untuk merasai keenakan hidangan ini selain sambal hitam Pahang yang menjadi sebutan ramai kerana keunikan rasanya.
“Program ini tidak hanya dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, tetapi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain.
“Sekarang 55 premis sudah terlibat manakala tiga lagi premis akan dipilih kemudian menjadikan dua premis setiap 11 daerah di Pahang,” tambahnya.
Langkah ini sejajar dalam usaha mempromosikan negeri sebagai destinasi popular hidangan makanan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain meningkatkan keyakinan para pelancong.
Program DMMSNP di peringkat daerah dipengerusikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan dilaksanakan melalui penilaian menyeluruh oleh agensi pelaksana.
Ia termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN). – MalaysiaGazette
















