Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin ketika berkempen di Kampung Tok Batik, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

TUARAN – Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin mengakui meskipun tiada pengalaman bertanding dalam mana-mana pilihan raya, namun beliau mampu menawarkan pilihan lebih segar dan berintegriti dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah pada 29 November ini.

Dr. Shahnon, 32, tidak menafikan, bukan mudah untuk mengubah kesetiaan pengundi kepada Datuk Seri Hajiji Noor yang berjaya mempertahankan kemenangannya sehingga lapan penggal di kerusi DUN Sulaman.

Bagaimanapun beliau dengan yakin gelombang anak muda yang berjaya memenangkan BN di Melaka dan Johor dalam PRN15 lalu mampu diulangi PRN17 di Sabah yang menampilkan muka baharu, anak muda, bersih dan lebih berintegriti.

“Mungkin ramai yang meragui keupayaan saya sebagai calon disebabkan saya orang muda. Walaupun saya kurang pengalaman, namun saya boleh isikan dengan integriti yang ada di dalam diri saya.

“Prinsip saya sebagai seorang orang muda berteraskan kepada perjuangan menaikkan maruah serta tidak suka kepada skandal dan ketirisan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen dari rumah ke rumah, di sini, semalam.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin ketika berkempen di Kampung Tok Batik, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Sebelum ini, media melaporkan Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berdepan saingan lima penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Sabah.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) ditentang Dr Shahnon sebagai calon muda dan muka baharu daripada BN, selain Mokhtar Hussin (Parti Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).

Pada PRN ke-16 lalu, Hajiji menang kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi. DUN Sulaman mempunyai 18,352 pengundi berdaftar.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin ketika berkempen di Kampung Tamvilla, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Selain itu, lebih menarik apabila Hajiji juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dicabar Dr. Shahnon yang bukan sahaja seorang doktor perubatan, bahkan merupakan anak saudaranya sendiri.

“Memang ada hubungan kekeluargaan dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, saya ini dikira anak saudara, ayah saya dengan Hajiji adalah sepupu.

“Saya tidak mahu melawan pakcik sendiri, kita tiada niat untuk melawan siapa-siapa, cuma menawarkan satu harapan dan pilihan baharu kepada pengundi-pengundi DUN Sulaman,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin ketika berkempen di Kampung Tamvilla, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Menurut Dr Shahnon, beliau cuba membawa pendekatan mesra rakyat tanpa mewujudkan jurang antara wakil rakyat dengan para pengundi yang diamalkan sejak kira-kira 40 tahun di DUN Sulaman.

“Kami ini bukan lagi generasi Yang Berhormat, tetapi kami ini orang muda sebenarnya masuk politik dengan tujuan kami mahu jadi Yang Berkhidmat kepada masyarakat.

“Dulu saya seorang doktor, berkhidmat merawat pesakit, tetapi sekarang ini kita sudah meluaskan skop kerana saya terpanggil untuk membuat kebaikan lebih daripada kesihatan.

“Sebaliknya perjuangan saya untuk generasi supaya kita boleh menambah potensi sebenar Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai peluang besar, baik ekonomi mahupun peluang pekerjaan khususnya anak-anak muda,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin ketika berkempen di Kampung Tamvilla, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Ketika ditanya tentang isu tiga serangkai yang puluhan tahu masih membelenggu rakyat Sabah, Dr Shahnon berkata, penglibatan pemimpin muda diyakini mampu memberi tekanan untuk menyelesaikan krisis air, elektrik dan jalan raya.

“Iya dan tidak, tiga serangkai di Sabah ini kami panggil AJK iaitu air, jalan raya dan karen (elektrik).

“Orang muda ada tenaga dan idea luar kotak yang boleh menyelesaikan masalah yang sedia ada ini secara jangka masa pendek dan penyelesaian jangka masa panjang,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thajuddin menunaikan solat Asar berjemaah di Surau As-Sajidin, Kampung Tambalang, Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Katanya lagi, sekiranya pengundi-pengundi membuat pilihan dengan memberi mandat kepada calon anak muda, namun beliau memberi jaminan jasa pemimpin terdahulu tidak akan disia-siakan.

“Sebenarnya pilihan berbalik kepada rakyat untuk memilih siapakah wakil rakyat yang mereka rasakan paling layak untuk membantu pembangunan kawasan mereka.

“Kita tidak menafikan pemimpin-pemimpin sebelum kita, akan tetapi kehadiran kami sebagai generasi baharu bukannya untuk menunjuk ajar, tetapi untuk menyambung perjuangan generasi-generasi kami sebelum ini.

“Kami hanya tambah aduk dengan cara penyelesaian orang muda supaya kita dapat menaikkan lagi maruah, tahap sosial dan ekonomi rakyat di Sabah terutamanya DUN Sulaman dan Tuaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast