R. Kuhan.

KUALA LUMPUR – MIC bukan pengkhianat dan sejarah membuktikan parti itu tidak pernah menikam sesiapa, meskipun UMNO sendiri boleh berubah nada dan menjadi mesra DAP pada bila-bila masa.

Ketua Pemuda MIC Melaka, R. Kuhan berkata, dalam sebarang keputusan melibatkan parti, kesetiaan ahli-ahli MIC tidak berbelah bahagi sebaliknya teguh bersama kepimpinan Presiden dan keputusan rasmi parti.

Malah, jelasnya, ketika UMNO berdepan kemelut dalaman, MIC juga tidak pernah campur tangan, meminta apa-apa atau mempertikai kepimpinan UMNO.

“Tapi bila tiba MIC, kenapa tiba-tiba ada pemimpin UMNO yang berani bersikap biadab terhadap kami?

“Presiden MIC berkawan dengan sesiapa atas dasar profesional, tetapi Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan pula boleh berkata “tiada kawan” di DAP. Sikap sebegini hanya menyerlahkan ketidakkonsistenan mereka sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Tambah Kuhan, ahli MIC adalah golongan profesional yang menghormati disiplin parti dan patuh kepada keputusan parti.

Ujarnya, ahli MIC tidak bermain politik untuk menaikkan nama sendiri, tidak seperti segelintir pemimpin besar UMNO yang lebih sibuk dengan ‘branding’ peribadi daripada menjaga maruah parti.

“MIC sentiasa teguh, matang dan berprinsip. Kesetiaan kami bukan berpura-pura. Kesetiaan kami adalah perjuangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast