KUALA LUMPUR – Kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan bersama lelaki yang hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan itu dijumpai jam 8.30 pagi menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bersambung hari ini.
“Kenderaan berkenaan ditemui tanpa mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter. Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam.
“Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa.
“Kenderaan terbabit telah diangkat dan akan diserahkan kepada syarikat pemilik kenderaan itu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Jelas beliau, operasi SAR hari kedua dijalankan sehingga 20 km dengan empat pasukan ditempatkan di setiap lima km sepanjang Sungai Klang dan melepasi sempadan negeri Selangor.
“Semua aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digembleng sepenuhnya.
Ia termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian, Kita juga menggunakan dron, bot kecil dan kayak bagi menyusuri hampir 20 km aliran Sungai Klang,” jelasnya.
Mengulas mengenai telefon bimbit mangsa yang dilaporkan masih berdering pada Selasa, beliau memberitahu ia tidak lagi aktif dan polis masih mendapatkan petunjuk untuk mengecilkan skop pencarian.
“Semalam arus deras namun hari ini air lebih tenang, jernih dan kurang berbahaya untuk penyelam. Kita akan meneruskan di empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam dengan laluan 20 kilometer akan diteliti secara menyeluruh.
“Jika ada struktur sungai yang mencurigakan atau halangan, kawasan itu akan dijadikan hotspot untuk penyelam menyelam.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang pada Isnin.
Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.- MalaysiaGazette
















