KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan kes saman 23 mangsa dan individu yang ahli keluarganya meninggal dunia ekoran kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor tiga tahun lalu, diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Pesuruhjaya Kehakiman, Elaine Yap Chin Gaik memutuskan demikian selepas menolak permohonan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) agar merit saman tersebut didengar melalui penentuan terhadap persoalan undang-undang.
Mahkamah berpuas hati bahawa persoalan yang dikemukakan tidak boleh ditentukan secara terus jika isu yang dipertikaikan ialah mengenai kerosakan tersembunyi yang dialami oleh cerun di kawasan itu sejak 2018.
“Pada peringkat ini, tidak dapat disahkan bila kerosakan tersembunyi sebenarnya berlaku sehingga menyumbang kepada runtuhan tanah pertama atau mencetuskan runtuhan tanah kedua,” ujarnya.
Selain PKPS, turut dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan ialah BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Infrasel Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Kerajaan Negeri Selangor selaku defendan pertama hingga ketujuh.
PKPS memohon perbicaraan ditentukan dengan mengemukakan tiga persoalan undang-undang bagi menentukan liabilitinya dalam kes tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan yang menjadi subjek tuntutan saman oleh plaintif.
Dalam penghakiman bertulis bertarikh 31 Oktober lalu, Elaine berpendapat, persoalan yang dibangkitkan PKPS adalah bergantung kepada fakta material yang belum diputuskan, oleh itu ia tidak sesuai ditentukan secara terus, tanpa perbicaraan.
Ia termasuk persoalan sama ada tindakan defendan pertama dan defendan kedua seperti pembersihan tanah dan pembinaan struktur, dilakukan dengan pengetahuan, persetujuan atau penyeliaan PKPS ketika ia masih pemilik tanah.
Hakim itu turut berpendapat, persoalan dalam kes tersebut menyentuh sejauh mana PKPS mempunyai pengetahuan, persetujuan atau penyertaan dalam pembangunan tanah tapak perkhemahan sehingga tempoh ia melepaskan pemilikan.
Ujar beliau, dalam konteks kesan alam sekitar akibat perbuatan yang dikaitkan dengan defendan pertama atau kedua di atas tanah PKPS, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada pemilik tanah boleh `menutup mata’ secara sah atas dasar pertimbangan.
Dalam tuntutannya, plaintif berkata tanah tapak perkhemahan terletak dalam Hutan Simpan Batang Kali dan pada tahun 1995, seluas 81.7 hektar hutan dikeluarkan untuk pemberimilikan.
Ia meliputi tanah tapak perkhemahan dan kawasan yang dikenal pasti sebagai punca runtuhan tanah di mana tanah mula mendap di sepanjang Jalan Batang Kali–Genting Highlands (zon terjejas).
Pada suatu ketika, zon terjejas telah diwartakan sebagai rizab jalan bagi Jalan Batang Kali–Genting Highlands dan tidak lagi menjadi milik PKPS.
PKPS kekal sebagai pemilik berdaftar tanah tapak perkhemahan dari 11 Februari 1998 hingga 7 Mac 2019 apabila ia menjual tanah itu kepada defendan kedua (Malaysia Botanical Garden). PKPS telah memajak tanah tapak perkhemahan kepada defendan kedua sebelum penjualan.
Dalam tempoh itu, defendan kedua melesenkan tanah kepada Tanah Gaia Sdn Bhd (kemudian dikenali sebagai Father’s Organic Farm Sdn Bhd) antara 23 Oktober 2015 hingga 31 Ogos 2017 dan membenarkan kerja pembersihan hutan serta pembinaan struktur untuk operasi Father’s Organic Farm.
Defendan pertama (BL Agro) juga mengambil alih lesen dan operasi pertanian selepas 31 Ogos 2017 dan membuka kawasan itu kepada orang awam sebagai tapak perkhemahan. Struktur tambahan turut dibina untuk aktiviti perkhemahan.
Pada awal 2018, lebih banyak kerja pembersihan tanah dilakukan oleh defendan pertama dan kedua berhampiran hujung benteng tanah yang dibina sebagai sebahagian pembinaan Jalan Batang Kali–Genting Highlands.
Oleh itu, PKPS didakwa cuai kerana gagal memantau, menyelia dan menghentikan kerja pembersihan tanah berkenaan yang telah menceroboh hutan simpan atau dilakukan tanpa kelulusan yang diperlukan.
Menurut pernyataan tuntutan, tanah, batu dan sisa berkumpul membentuk empangan dalam tapak tanah perkhemahan yang bertahan sekitar 20 minit sebelum runtuh dalam runtuhan kedua yang menenggelamkan lebih banyak kawasan tanah terbabit. – MalaysiaGazette
















