Fadhlina.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan penuh proses pendaftaran guru baharu bagi mengenal pasti punca segelintir guru yang didakwa tidak melaporkan diri ke sekolah seperti ditetapkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kini kementeriannya sedang mengumpulkan maklumat secara menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil susulan proses pendaftaran guru baharu bermula Isnin lalu.

Jadi, masih ada masa lagi untuk kita lihat secara keseluruhan punca, sebab dan sebagainya.

“Guru terbabit juga masih mempunyai ruang untuk melapor diri dan KPM memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan semakan.

“Nanti selepas saya dapat laporan penuh pendaftaran, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa kerana kita belum lagi dapat maklumat secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan guru baharu tidak lapor diri.

Terdahulu, Fadhlina merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani  Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, di sini.

Hadir sama, Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan isu itu tidak dianggap serius kerana jumlahnya kecil, namun tetap memerlukan penelitian.

Saya rasa (isu guru baharu tak lapor diri) tidak begitu serius kerana jumlah itu sangat sedikit tetapi still bagi saya, kita harus ambil perhatian mengapa mereka tidak mampu mendaftarkan diri.

“Mungkin ada sebab-sebab peribadi ataupun sebab-sebab yang perlu kementerian ambil maklum tentang mengapa keadaan itu berlaku,” katanya.

Media semalam melaporkan, seramai tujuh orang guru yang diambil menerusi inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak telah meletak jawatan.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli dilaporkan berkata, selain itu, seramai 51 orang tidak melapor diri.

“Antara faktor utama calon yang tidak melapor diri dan meletak jawatan ialah telah ditawarkan pekerjaan lain, menolak tawaran penempatan dan masalah peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast