Logo KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan tiga sarjana tersohor sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025.

Mereka ialah Prof. Dr. Shahanum Md. Shah sebagai penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat (AS); Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand; serta Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid sebagai penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies Universiti, China.

KPT dalam kenyataan memaklumkan, Prof. Dr. Shahanum Md. Shah akan menerajui Kursi Tun Abdul Razak di AS.

Katanya, profesor muzik antarabangsa dari UiTM itu diiktiraf atas kepakaran dalam pendidikan muzik dan etnomusikologi. Berusia 60 tahun serta beliau berpengalaman luas memegang jawatan kepimpinan akademik serta pernah menerima National Band Figure Award 2023.

“Prof. Shahanum juga aktif di pentas global melalui pengajaran, bengkel gamelan dan menjadi hakim pertandingan muzik di pelbagai negara. Pelantikannya dijangka memperkukuh diplomasi pendidikan serta memartabatkan seni dan identiti Malaysia di Ohio University,” kata kementerian berkenaan.

Dr Kartini Aboo pula katanya, akan berperanan memperkukuh naratif Malaysia di New Zealand.

Sarjana dasar awam dan etnik dari Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kini merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA).

“Berusia 51 tahun, beliau berpengalaman menghasilkan sembilan kertas dasar kebangsaan dan pernah dilantik sebagai Country Consultant kepada UN Women.

“Prof. Kartini juga kerap tampil sebagai penceramah antarabangsa dan komentator media global seperti BBC dan Al Jazeera. Pelantikannya diyakini dapat memperkukuh fungsi Kursi Pengajian Malaysia sebagai platform diplomasi intelektual di New Zealand,” ujar KPT.

Sementara itu, Dr. Indirawati pula berperanan memantapkan pengajian Melayu di China.

Beliau yang merupakan tokoh fonologi dan berusia 59 tahun dari Universiti Malaya itu merupakan penerima gelaran Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024.

Pengalaman beliau sebagai profesor pelawat di China, Rusia dan Indonesia menjadikan beliau antara sarjana utama dalam penyebaran Pengajian Melayu di luar negara.

“Prof. Indirawati turut berperanan dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM di Guangzhou. Pelantikannya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya.

Sehubungan itu KPT menegaskan, pelantikan tiga sarjana tersebut akan memperkukuh pengajian Asia Tenggara, Malaysia dan Melayu di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi. – MalaysiaGzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast