Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan negeri segera menangani isu kebanjiran peniaga warga asing yang semakin membimbangkan di seluruh negeri hingga menggugat peniaga tempatan.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, kebanjiran mereka dilihat memberi tekanan besar kepada peniaga tempatan, khususnya pengusaha runcit di kampung, Felda dan kawasan bandar.

Beliau mendakwa, keadaan tersebut menyebabkan sehingga ada peniaga tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat persaingan tidak seimbang.

“Situasi ini semakin meruncing apabila wujud aktiviti penyalahgunaan lesen oleh pihak tertentu yang membenarkan warga asing menguasai operasi perniagaan.

“Akibatnya, harga barangan turut dimanipulasi sehingga menjejaskan persaingan sihat.

“Contohnya, barangan tertentu seperti kembung putih dijual warga asing pada harga hanya RM10 sekilogram, berbanding RM13 sekilogram oleh peniaga tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jurang harga seperti itu menyebabkan pelanggan beralih kepada peniaga warga asing, sekali gus menekan pendapatan peniaga tempatan.

“Banyak kedai runcit di kampung terpaksa ditutup kerana mereka tidak mampu bersaing dengan harga yang ditawarkan peniaga warga asing. Isu ini sudah lama dibangkitkan, namun penyelesaiannya dilihat belum menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pejuang Johor mencadangkan agar kerajaan negeri menguatkuasakan semula pemeriksaan lesen perniagaan secara berkala di semua daerah.

Kedua katanya, mewujudkan garis panduan ketat yang melarang penyalahgunaan lesen bumiputera oleh warga asing.

Suraya berkata, ketiga mengambil tindakan tegas terhadap pemilik lesen yang bersekongkol, termasuk pembatalan lesen serta penalti berat.

Terakhir katanya, adalah dengan mengadakan operasi bersepadu bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan imigresen untuk membanteras aktiviti perniagaan tanpa permit sah.

“Isu ini bukan sekadar soal persaingan ekonomi, tetapi melibatkan masa depan peniaga kecil yang sekian lama menjadi tulang belakang ekonomi rakyat Johor.

“Kerajaan negeri digesa bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius dan mengancam kesejahteraan ekonomi masyarakat tempatan,” tambahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Shukor, ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, satu garis panduan khusus akan diwujudkan bagi menangani masalah itu.

Mohd Jafni menegaskan, bahawa masalah warga asing menjalankan perniagaan menggunakan lesen bumiputera bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam kelangsungan ekonomi komuniti tempatan.

Fenomena itu katanya, dilihat berlaku secara meluas khususnya di kawasan bandar dan kampung Felda sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat setempat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast