Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyambah maklum kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini. Kredit : Facebook Kesultanan Pahang

KUANTAN– Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat di negeri ini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Baginda menegaskan, persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan, khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

Ia termasuk menitikberatkan kebersihan tandas di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

“Pastikan pengguna diberi panduan tentang cara penggunaan kemudahan tandas di PPS,” titah baginda.

“Semua pihak hendaklah mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua.

“Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara, termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di PPS,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).

Dalam pada itu, baginda bertitah agar maklumat berkaitan air pasang, hujan lebat berterusan serta sebarang situasi yang boleh mengundang risiko banjir hendaklah dihebahkan kepada rakyat.

“Maklumat penting itu perlu dihebahkan dengan segera dan teratur bagi membolehkan rakyat membuat persediaan awal, terutama mereka yang tinggal di kawasan banjir,” titahnya.

Tuanku turut menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan PPS secara kekal melalui penambahbaikan dewan-dewan sedia ada, ekoran langkah ini akan memberi manfaat jangka panjang serta menjimatkan kos pengurusan pada masa hadapan.

Selain itu pihak berkuasa tempatan (PBT) diseru supaya memperhebatkan kerja-kerja pembersihan, khususnya di kawasan saluran longkang dan sistem perparitan di bandar-bandar seluruh negeri, bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.

Sementara itu, baginda turut menitahkan supaya semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang melaksanakan solat hajat tolak bala bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT agar negeri ini dijauhkan daripada bencana banjir dan segala musibah.

Sultan Pahang mengingatkan bahawa usaha menghadapi musim banjir ini adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan iltizam tinggi daripada setiap pihak agar rakyat yang bakal berdepan musibah sentiasa dibantu dan dilindungi dengan sebaiknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast