Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan isu pemberian royalti kepada negeri itu sebagai satu episod hitam yang mencalar hak rakyat Terengganu.

Menurut beliau, bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022, berlaku episod baharu dalam pemberian royalti di Terengganu yang turut dianggap tidak patut berlaku pada zaman moden ini.

Katanya, ia apabila kepentingan politik melebihi daripada kepentingan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

“Secara kumulatifnya daripada royalti petroleum Negeri Terengganu bagi tempoh 2023 hingga 2025, Kerajaan Negeri sebenarnya hanya dibenarkan mengurus 50 peratus saja dan tidak mengikut perjanjian iaitu dua kali setahun,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, tambah Ahmad Samsuri, kerajaan negeri sukar untuk membuat perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri apatah lagi perkara yang berkait dengan rakyat Terengganu.

“Sebab itulah kita sentiasa berjuang supaya keadaan itu dikembalikan kepada asal sebagaimana amalan sebelum 20 November 2022,” katanya.

Minggu lalu, ketika berucap menggulung Belanjawan 2026 Terengganu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahmad Samsuri berkata, sejumlah RM1.32 bilion dana royalti petroleum milik Terengganu tidak disalur terus ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan 2025.

Menurut beliau, setakat 2 November lalu, Terengganu telah direkod menerima RM1.08 bilion hasil royalti daripada anggaran keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion bersamaan 66.44 peratus bagi tahun ini.

Namun, jelasnya, jumlah itu menunjukkan masih terdapat sebahagian besar royalti yang tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sekali gus menjejaskan autonomi negeri dalam mengurus hasil sendiri.

Setakat ini, ujarnya, hanya RM583.35 juta disalurkan secara terus ke akaun kerajaan negeri, menyebabkan 47 peratus hasil royalti atau RM497 juta masih diuruskan pihak lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast