Para peserta yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Universiti Putra Malaysia bergambar bersama penceramah Dr. Saiful Amin Jalun (duduk enam dari kiri) dan urusetia dalam Program Putra Top Talent.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan Program Putra Top Talent 2025 bagi memperkukuh kepimpinan pegawai tadbir muda di Kuala Selangor, semalam.

Naib Canselor UPM, Datuk Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pembangunan pentadbir muda penting bagi memastikan universiti itu kekal kompetitif dalam persekitaran kerja yang cepat berubah.

Menurutnya, keperluan profesionalisme, integriti, kecerdasan digital dan kemampuan membuat keputusan strategik sebagai asas kecemerlangan pentadbiran.

“Pentadbir muda ialah penggerak sistem yang menentukan kelancaran operasi, keberkesanan penyampaian dan reputasi universiti.”

“Mereka bukan sekadar melaksanakan tugasan, tetapi merupakan arkitek tadbir urus yang membentuk masa depan institusi,” katanya.

Menurut Ahmad Farhan, program itu berteraskan Pelan Strategik UPM.

Sementara itu, penceramah jemputan, Saiful Amin Jalun, menekankan kepentingan empati, kejujuran dan keupayaan membina kepercayaan sebagai elemen utama kepimpinan berkesan.

“Keputusan dan proses boleh diasah, tetapi hasil yang paling penting dalam kepimpinan ialah hubungan.”

“Hanya apabila hati terhubung, barulah hubungan itu berkembang dan melahirkan pembelajaran serta pertumbuhan yang sebenar.” katanya.

Aspek integriti turut diberi penekanan bagi memastikan setiap pentadbir memahami amanah institusi serta kesan keputusan yang dibuat terhadap warga universiti.

Secara keseluruhan, Putra Top Talent 2025 menjadi platform holistik melahirkan pentadbir muda berkualiti yang bersedia memacu transformasi UPM selaras aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast