Polis menafikan dakwaan berlaku kejadian tangkapan bersenjata di hadapan Stadium Hang Jebat menerusi video berdurasi 45 saat yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam sebaliknya adalah ketika tentera dan polis menjalankan operasi menyelamatkan VIP tebusan.

MELAKA – Polis menafikan dakwaan berlaku kejadian tangkapan bersenjata di hadapan Stadium Hang Jebat menerusi video berdurasi 45 saat yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, rakaman itu sebaliknya adalah ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan simulasi khas melibatkan operasi menyelamatkan VIP tebusan.

“Video tersebut bukan kejadian jenayah sebaliknya adalah sebahagian daripada latihan terancang yang dijalankan ATM bersama PDRM di bawah Kursus Tempur Jarak Dekat Siri TJD/1/2025.

“Semua elemen dalam rakaman itu daripada anggota yang bersenjata, pergerakan konvoi, rundingan tebusan hinggalah tembakan blank adalah simulasi profesional dan dilaksanakan dalam keadaan terkawal,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini

Menurut beliau, kursus berkenaan turut merangkumi Latihan Pengiring Orang Kenamaan (POK) sejak 10 November lalu yang bertujuan meningkatkan kemahiran anggota dalam mengendalikan VIP, mengurus ancaman, mengiring konvoi berisiko serta bertindak dalam situasi kritikal.

“Kejadian dalam video tular dipercayai dirakam semasa sesi latihan pada jam 6.30 petang semalam melibatkan simulasi penyelamatan VIP tebusan.

“Rundingan dalam latihan itu berakhir tanpa persetujuan ‘pihak musuh’, sebelum pasukan penyelamat melaksanakan serangan taktikal untuk membawa keluar mangsa,” katanya.

Christopher menambah, latihan tersebut berlangsung selama kira-kira 45 minit dan melibatkan beberapa jenis kenderaan latihan seperti Perodua Myvi, Honda City, Proton Saga, Perodua Bezza, Perodua Ativa, Toyota Noah serta motosikal Yamaha dan Honda.

“Latihan itu berlangsung sejak 10 November hingga 22 November 2025 dengan penyertaan 45 anggota ATM bersama jurulatih dan pemerhati PDRM.

“Antara aspek taktikal yang dipraktikkan termasuk pergerakan konvoi pengiring VIP, kawalan keselamatan di kawasan tumpuan, prosedur penyelamatan apabila VIP dijadikan tebusan dan neutralisasi ancaman berprofil tinggi,” katanya.

Tambah beliau, aspek lain adalah perlindungan close quarter battle (CQB) pada jarak dekat, serta kawad taktikal menggunakan peluru blank.

Christopher berkata, latihan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Melaka Tengah seperti Ayer Keroh, Stadium Hang Jebat, Bandar Hilir, Klebang, Simpang Ampat dan Sungai Udang.

Semua peserta lengkap dengan peralatan keselamatan latihan dan mengenakan pas pengenalan kelabu serta kad MyTentera untuk tujuan pengesahan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah panik atau mempercayai maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial, khususnya apabila melihat pergerakan konvoi bersenjata atau mendengar bunyi tembakan blank.

“Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Latih, Kapt. Muhammad Silmi Mansor di talian 014-5224634,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast