KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 190,304 perkahwinan pada tahun 2024, meningkat sebanyak 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala penceraian meningkat 4.1 peratus kepada 60,457.
Bilangan perceraian meningkat 4.1 peratus kepada 60,457 (2024) daripada 58,095 (2023) menyebabkan Kadar Perceraian Kasar (CDR) meningkat kepada 1.8 (2024) daripada 1.7 (2023) bagi setiap 1,000 penduduk.
Bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 7.3 peratus pada 2024 (47,577) berbanding 2023 (44,322), menurut Menurut laporan Perangkaan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Malaysia, 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tiga negeri mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Sarawak (579: 33.9%), Selangor (459: 4.8%) dan Sabah (398: 12.7%).
Sementara itu, perceraian bukan Islam menurun 6.5 peratus kepada 12,880 (2024) daripada 13,773 (2023).
Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian bukan Islam iaitu Sarawak (236: 8.9%) diikuti Selangor (224: 7.8%) dan Perak (145: 9.7%).
Perceraian tertinggi adalah dalam kumpulan umur 30-34 tahun bagi lelaki dan juga perempuan.
Pada tahun sama, bilangan rujuk menurun sebanyak 4.7 peratus kepada 5,563, berbanding 5,835 pada tahun sebelumnya dengan Selangor mencatatkan bilangan rujuk tertinggi dengan 1,148, manakala Labuan merekodkan jumlah terendah (13).
Pada peringkat daerah, dua daerah di Selangor mencatatkan bilangan rujuk tertinggi, iaitu Petaling (278) dan Ulu Langat (234), diikuti Seremban, Negeri Sembilan (196).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2024 adalah 190,304, meningkat 0.9 peratus daripada 188,614 pada 2023.
Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) kekal tidak berubah iaitu 5.6 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024.
Perkahwinan orang Islam menyumbang 72.3 peratus daripada keseluruhan perkahwinan yang direkodkan, penurunan 1.8 peratus 137,595 (2024) berbanding 140,176 (2023).
Tiga negeri dengan penurunan tertinggi bagi perkahwinan orang Islam adalah Pahang (739: 9.3%), Perak (598: 5.8%) dan Johor (537: 3.1%).
Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam merekodkan peningkatan 8.8 peratus kepada 52,709 (2024) daripada 48,438 (2023).
Tiga negeri dengan peningkatan tertinggi bagi perkahwinan orang bukan Islam adalah Johor (1,029: 14.7%), Selangor (751: 6.9%) dan Pulau Pinang (646: 19.3%).
Daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam pada 2024 iaitu 7,150 diikuti Johor Bahru, Johor (6,801) dan Ulu Langat, Selangor (5,159).
Bagi orang bukan Islam, Johor Bahru, Johor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi dengan 4,055 diikuti Petaling, Selangor (3,865) dan Klang, Selangor (2,440).
Mohd Uzir berkata, umur penengah bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan masing-masing kekal tidak berubah pada 29 tahun dan 27 tahun.
Perkahwinan tertinggi direkodkan dalam kalangan kumpulan umur 25–29 tahun bagi pengantin lelaki dan perempuan.
Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki dan perempuan paling tua direkodkan masing-masing 92 dan 91 tahun pada 2024.
Bagi tempoh 2018 hingga 2024, umur penengah perkahwinan bagi perempuan meningkat daripada 26 kepada 27 tahun menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama kepada 28.3 tahun pada 2024 berbanding 27.8 tahun bagi tempoh yang sama.
Keadaan ini mengakibatkan tempoh reproduktif wanita menjadi lebih pendek dan menyumbang kepada penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2024. – MalaysiaGazette
















