Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan menangguhkan sementara program naturalisasi atlet sukan secara besar-besaran sehingga kontroversi melibatkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selesai.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya turut menggesa audit semula dilakukan terhadap semua proses naturalisasi atlet sukan negara sejak 2015.

Selain itu, menurut beliau, proses naturalisasi atlet melibatkan klausa `keturunan’ juga wajar digantung sehingga mekanisme verifikasi diperkukuh.

Dalam masa sama, tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu memperkenalkan standard baharu pemeriksaan dokumen antarabangsa, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diwajibkan menubuhkan unit integriti bebas di bawah pemantauan pihak ketiga.

“MCW juga menggesa supaya panel siasatan bebas yang akan ditubuhkan FAM bagi menyiasat isu ini mesti benar-benar bebas, tanpa campur tangan dalaman FAM, politik ataupun mana-mana pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jais berkata, MCW juga menuntut ketelusan berhubunng siasatan yang dijalankan oleh FAM termasuk mendedahkan laporan penuh siasatan kepada umum.

Selain itu, ujarnya, FAM juga perlu menjelaskan siapa yang memberi arahan kepada pegawai untuk mengubah dokumen berkaitan pemain naturalisasi dan menjawab bagaimana proses itu boleh berlaku tanpa semakan latar belakang asas.

“Krisis integriti sukan negara hanya dapat dipulihkan melalui keberanian untuk mendedahkan kesalahan, bukan melindunginya.

“Kami tidak mahu melihat Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana kelemahan tadbir urus. Reformasi mesti berlaku sekarang,” katanya.

Sementara itu, tambah Jais, pihaknya percaya krisis pemain naturalisasi tersebut membuka ruang pembersihan besar-besaran dalam bola sepak Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan siasatan tanpa kopromi dengan FAM bertanggungjawab secara terbuka, bukan bersifat defensif.

Dalam masa sama, KDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan berkait elemen pemalsuan dokumen dan salah guna kuasa.

“Malaysia wajib kembali dihormati bukan kerana keputusan di padang semata-mata, tetapi kerana moral, integriti dan kejujuran pentadbir bola sepaknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast