KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit dijangka mendapat sokongan kukuh pada RM4,100 – RM4,200 pada bulan Disember dan boleh meningkat ke arah RM4,500, didorong oleh permintaan import yang stabil menjelang Tahun Baru Cina dan Ramadan.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran sangat kukuh dari Julai hingga Oktober 2025 juga membayangkan penurunan output bermusim lebih ketara daripada biasa pada bulan Disember dan memasuki suku pertama 2026 apabila pokok sawit memasuki fasa rehat biologi mereka.
Permulaan monsun pada pertengahan November juga dijangka mengganggu aktiviti penuaian.
Menurutnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak sebanyak 203,000 tan (+11.0%) pada bulan Oktober, mencapai output bulanan tertinggi dalam tempoh sedekad.
Sabah mendahului peningkatan bulanan dengan peningkatan sebanyak 72,000 tan (+19.5%), diikuti oleh Sarawak pada 61,000 tan (+14.6%) dan Semenanjung Malaysia pada 68,000 tan (+6.5%).
Kataya, pengeluaran kukuh pada bulan Oktober disokong oleh ketibaan monsun yang lewat, penggunaan pembajaan yang lebih baik dan corak hujan yang menggalakkan sepanjang tahun 2024.
Manakala eksport pada bulan Oktober juga kukuh dan melebihi jangkaan, meningkat 265,000 tan (+18.6%) kepada 1.69 juta tan. Afrika Sub-Sahara menyumbang sebahagian besar peningkatan, dengan eksport ke rantau ini mencecah rekod 577,000 tan, mewakili 34% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada bulan tersebut.
Eksport ke China juga meningkat ke paras tertinggi lima bulan iaitu 110,000 tan.
“Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.46 juta tan pada bulan Oktober, paras tertinggi sejak April 2019, walaupun pertumbuhan eksport mengatasi pengeluaran.
“Ini bermakna peningkatan stok bukan didorong oleh pengeluaran atau dinamik eksport, tetapi oleh penggunaan domestik yang lebih perlahan.
“Di samping itu, Malaysia mengimport 708,000 tan minyak sawit dari Indonesia antara Januari dan Oktober 2025, peningkatan sebanyak 266% daripada 193,000 tan dalam tempoh yang sama tahun lepas,” tambahnya.
Harga minyak sawit di pasaran global menurun 4% pada bulan November apabila stok terus terkumpul, manakala harga minyak bunga matahari, kacang soya dan minyak rapeseed sebahagian besarnya tidak berubah, melebarkan diskaun minyak sawit kepada minyak lembut.
Sehingga pertengahan November, minyak sawit diniagakan pada diskaun USD120 kepada minyak bunga matahari, AS$48 dan AS$34 di bawah minyak kacang soya dan minyak rapeseed, kata MPOC.
Jelasnya, pelebaran sementara diskaun minyak sawit dijangka akan merangsang permintaan import, terutamanya dalam pasaran yang sedang bersiap sedia untuk Ramadan.
Pada tahun 2026, Tahun Baru Cina dan Ramadan akan jatuh pada bulan Februari yang sama, apabila pengeluaran biasanya berada pada tahap terendah bermusim disebabkan oleh hari penuaian yang lebih sedikit.
Dari segi sejarah, Ramadan bermula kira-kira sebulan selepas Tahun Baru Cina, menyediakan penampan untuk pembinaan stok.
“Pertindihan ini berkemungkinan akan mendorong penggunaan domestik lebih tinggi daripada biasa pada bulan Januari dan Februari apabila isi rumah dan perniagaan menyimpan stok sebagai persediaan untuk musim perayaan,” ujarnya.
Pada tahun 2025, minyak sawit diniagakan pada premium atau diskaun kecil kepada minyak kacang soya untuk sebahagian besar tahun, mengekang import minyak sawit India.
Akibatnya, stok minyak sayuran India telah jatuh kepada 1.7 juta tan pada Oktober 2025, jauh di bawah 2.4 juta tan yang dicatatkan setahun sebelumnya.
Tambahnya, sok saluran paip juga kekal jauh lebih rendah daripada stok pelabuhan, menunjukkan penghantaran minyak sayuran masuk yang terhad.
Oleh itu, pengimport India dijangka mengambil kesempatan daripada kelemahan harga minyak sawit baru-baru ini untuk menambah inventori minyak sayuran domestik.
Sementara itu, ketidakpastian dasar Indonesia terus memberi sokongan kepada harga minyak sawit.
Katanya, laporan pasaran mencadangkan kerajaan mungkin melaraskan duti eksport untuk mendapatkan stok bahan mentah domestik yang mencukupi dan masa peralihan Indonesia kepada mandat biodiesel yang lebih tinggi – sama ada B45 atau B50, kekal sebagai faktor perubahan utama yang akan mempengaruhi bekalan yang boleh dieksport pada tahun 2026. – MalaysiaGazette
















